Skor ESG memuaskan, Bursa Malaysia capai neutraliti karbon pada 2022 – Maybank IB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Skor ESG memuaskan, Bursa Malaysia capai neutraliti karbon pada 2022 – Maybank IB

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 27 April - Bursa Malaysia Berhad mencapai neutraliti karbon untuk 2022 dengan mengimbangi semua pelepasan gas rumah hijau operasi pada 2021 melalui pembelian 7,588 tCO2e kredit karbon.

 

Maybank Investment Bank (Maybank IB) berkata pendekatan Bursa untuk mencapai neutraliti karbon adalah dengan secara aktif mengurangkan jejak pelepasan dan melabur dalam projek mengimbangi karbon yang disahkan dan berkualiti tinggi untuk pelepasan sisanya.

 

“Pelancaran Bursa Carbon Exchange (BCX) pada Disember 2022 akan membantu meningkatkan kesedaran dan kemampanan syarikat tersenarai awam (PLC) Malaysia,” tambahnya.

 

Dalam semakannya terhadap alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) Bursa selepas pengeluaran Laporan Kemampanan & CG FY22, firma penyelidikan itu mendapati kemas kini skor ESG kumpulan adalah 69 daripada 100 berbanding 73 dalam ulasan terakhirnya, di mana penyusutan skor tersebut disebabkan oleh pelepasan gas rumah hijau yang lebih tinggi.

 

Bagaimanapun, penarafan ESG baharu itu masih lebih daripada sederhana dan menurut firma itu, secara positif, Bursa telah mencapai sasaran neutraliti karbonnya untuk 2022.

 

Di samping itu, firma itu berkata, skor risiko ESG tersebut sejajar dengan skor terkini Sustainalytics yang rendah pada 15.2.

 

“Selain daripada pelepasan gas rumah hijau yang lebih tinggi dan penggunaan tenaga pada tahun kewangan 2022 (FY22), Bursa mendapat markah yang baik dalam bidang lain dalam penilaian kualitatif/kuantitatif kami.

 

Pelepasan gas rumah hijau lebih tinggi adalah disebabkan operasinya kembali normal selepas pandemik, pemasangan dalaman pejabat yang berterusan dan pendekatan lebih konservatif, dengan menukar sumber faktor pelepasan grid daripada Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) kepada sumber oleh Suruhanjaya Tenanga Malaysia (EC), yang mempunyai nilai yang lebih tinggi,” katanya dalam nota hari ini.

 

Firma itu berkata andaian utama kepada ramalan pendapatan tidak berubah adalah purata nilai harian ekuiti sebanyak RM2.3 bilion dan RM2.6 bilion masing-masing untuk 2023/2024 dan 3% setahun pertumbuhan dalam kontrak derivatif berbanding -9% tahun ke tahun (YoY) pada suku pertama 2023.

 

Firma itu mengekalkan saranan ‘pegang’ dengan harga sasaran RM6.60 sesaham. -DagangNews.com