Sime Darby Plantation nafi terima rasuah, gubah wang haram, curi gaji pekerja | DagangNews Skip to main content

Sime Darby Plantation nafi terima rasuah, gubah wang haram, curi gaji pekerja

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 7 Ogos - Sime Darby Plantation Berhad (SDP) menafikan bahawa pihaknya menerima rasuah, menggubah wang haram dan ‘makan’ gaji pekerja seperti didakwa petisyen kumpulan aktivis, Liberty Shared.

SDP menerusi kenyataan balasnya terhadap Liberty Shared berkata, sehingga kini pihaknya masih belum menerima maklumat dan butiran penuh berhubung tuduhan yang dikeluarkan kumpulan aktivis berkenaan. 

Susulan itu, SDP tidak dapat melaksanakan siasatan terperinci dan penuh terhadap tuduhan berkenaan. 

“Menerusi kenyataannya baru-baru ini, Liberty Shared mengetengahkan isu rasuah, pencurian gaji dan penggubahan wang haram kerana pekerja kami memegang akaun mereka sama dengan SDP. 

“Isu ini langsung tidak disebut dalam ringkasan laporan petisyen oleh Liberty Shared yang mana kami telah membuat penjelasan berhubung keadaan dan amalan terkini di SDP.

“SDP memandang serius terhadap tuduhan berkenaan kerana ia seolah-olah menyatakan salah satu institusi perbankan yang dihormati di Malaysia bersekongkol melakukan pencurian gaji dengan SDP, selain penggubahan wang haram.

“Kenyataan itu harus dibuktikan dengan bukti kukuh dan jelas kerana implikasinya, ia menimbulkan keraguan terhadap kredibiliti institusi kewangan terlibat yang tertakluk kepada undang-undang dan kerangka peraturan bank,”jelas SDP menerusi kenyataannya hari ini. 

Sebelum ini, Liberty Shared mengeluarkan petisyen untuk menyekat produk import minyak sawit SDP kepada Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) Amerika Syarikat (AS) berhubung tuduhan terbabit. 

Susulan itu, SDP menerusi kenyataan balas pada 10 Julai lalu menyediakan maklumat dan rekod dalaman syarikat sebagai penjelasan kepada tuduhan terbabit.

Liberty Shared yang telah menerima maklum balas itu mencadangkan beberapa tindakan yang wajar diambil oleh SDP bagi menambahbaik keadaan pekerja di syarikat itu menerusi kenyataan balas bertarikh 4 Ogos lalu. 

Menurut SDP, pihaknya menyambut baik cadangan tersebut dan akan mempertimbangkannya bagi penambahbaikan pengurusan dalaman syarikat.

“Tambahan lagi, sekiranya wujud tuduhan berkenaan, badan bebas, Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Ladang (NUPW) pasti akan membangkitkan perkara tersebut dan mengambil tindakan segera. 

“Jabatan Tenaga Kerja juga melaksanakan pemeriksaan berkala terhadap gaji yang dibayar kepada pekerja dan tindakan akan dikenakan ke atas SDP sekiranya terdapat pencurian gaji mereka,” tambah SDP. - DagangNews.com