KUALA LUMPUR 19 Mei – Mahkamah Perusahaan memutuskan American Express (Malaysia) Sdn Bhd telah memecat seorang pekerja secara tidak adil selepas beliau didakwa menjadi mangsa buli, gangguan dan tekanan di tempat kerja selama beberapa tahun.
Dalam keputusan bertulis setebal 45 halaman, Pengerusi Mahkamah Perusahaan, Augustine Anthony berkata bukti yang dikemukakan menunjukkan wujudnya persekitaran kerja yang tidak sihat dan bermusuhan.
Beliau berkata pekerja berkenaan, R. Kuhendran telah berulang kali menjadi sasaran, dihina dan akhirnya dipecat dalam keadaan yang disifatkan sebagai tindakan balas.
Mahkamah turut memerintahkan syarikat itu membayar sebanyak RM153,200 kepada Kuhendran sebagai gaji tertunggak dan pampasan sebagai ganti pemulihan jawatan.
Kuhendran yang mula bekerja dengan syarikat itu pada tahun 2014 mendakwa beliau telah lama berdepan dengan gangguan daripada penyelia terdekatnya.
Penyelia berkenaan, Vijay K. Jayadevan Nair, turut dinamakan sebagai saksi dalam kes tersebut, lapor NST.
Menurut Kuhendran, beliau mula menjadi sasaran selepas menyuarakan kebimbangan mengenai budaya kerja yang toksik di tempat kerja.
Beliau mendakwa beberapa surat amaran yang diterimanya sejak 2015 adalah sebahagian daripada usaha untuk menekannya.
Walaupun beliau telah membuat aduan secara dalaman, mahkamah mendapati tiada tindakan berkesan diambil oleh pihak syarikat terhadap aduan tersebut.
Keadaan menjadi lebih buruk apabila Kuhendran menghantar surat aduan ke ibu pejabat syarikat di New York pada Mac 2022.
Tidak lama selepas itu, beliau menerima surat tunjuk sebab berkaitan prestasi dan salah laku sebelum akhirnya dipecat pada Jun 2022.
American Express bagaimanapun mempertahankan tindakan tersebut dengan menyatakan pemecatan dibuat atas alasan prestasi kerja yang lemah dan pelanggaran prosedur syarikat.
Namun, mahkamah mendapati hujah syarikat tidak disokong dengan bukti yang kukuh dan dianggap tidak meyakinkan.
Mahkamah turut menegaskan bahawa bukti menunjukkan wujudnya kata-kata kesat dan bersifat menghina yang digunakan oleh penyelia terhadap pekerja melalui sistem komunikasi pejabat.
Dalam penghakimannya, mahkamah menyatakan syarikat sepatutnya bertindak lebih tegas dalam menangani isu gangguan di tempat kerja.
Mahkamah juga menyimpulkan pemecatan Kuhendran berlaku tanpa proses yang adil dan tidak melalui penilaian prestasi yang sewajarnya.
Kuhendran diwakili oleh peguamnya Bhavanash Sharma dan J. Soarminie, manakala pihak syarikat diwakili oleh beberapa peguam lain dalam kes berkenaan. - DagangNews.com








