KUALA LUMPUR 24 Julai - Gas Malaysia Berhad berada pada kedudukan kukuh untuk memanfaatkan kenaikan harga gas global dan pembangunan Terminal Regasifikasi 4 (RGT4) yang dilihat mampu menjadi pemangkin pertumbuhan baharu syarikat dalam tempoh jangka panjang.
RHB Research berpandangan, kombinasi prospek pertumbuhan daripada projek RGT4 dan kestabilan pendapatan menerusi perniagaan yang dikawal selia meletakkan Gas Malaysia sebagai antara syarikat utiliti gas yang menawarkan keseimbangan antara pertumbuhan dan pulangan kepada pemegang saham.
"Kami menyukai Gas Malaysia kerana kedudukannya sebagai penerima manfaat daripada kenaikan harga gas serta pemaju projek baharu RGT4. Pada masa sama, tarif yang dikawal selia menyediakan asas pendapatan yang stabil serta menyokong hasil dividen yang menarik," katanya dalam nota penyelidikan.
Sehubungan itu, firma berkenaan memulakan liputan ke atas Gas Malaysia dengan saranan 'Beli' dan harga sasaran (TP) berasaskan kaedah Sum-of-the-Parts (SOP) sebanyak RM6.50 sesaham, yang mencerminkan potensi kenaikan sekitar 29% daripada harga semasa.
Selain itu, saham syarikat dijangka menawarkan hasil dividen kira-kira 5% bagi tahun kewangan 2027 (FY27F).
Penerima Manfaat Utama
Firma itu berkata, Gas Malaysia dijangka menjadi antara penerima manfaat utama daripada kenaikan Harga Rujukan Malaysia (MRP) memandangkan bahagian perniagaan penghantar gas (shipper) memperoleh margin tetap berdasarkan MRP yang menjejaki pergerakan harga minyak mentah Brent.
Menurutnya, lonjakan harga minyak pada suku kedua 2026 berikutan konflik di Timur Tengah dijangka meningkatkan MRP sebanyak 26% tahun ke tahun pada suku keempat 2026, mengambil kira kelewatan sekitar sembilan bulan antara perubahan harga Brent dan MRP.
"Kesan yang lebih ketara dijangka berlaku pada 2027 apabila MRP diunjurkan meningkat 28% tahun ke tahun, sejajar dengan kenaikan 21% harga minyak Brent sepanjang 2026," katanya.
Pada masa sama, firma itu melihat projek RGT4 di Yan, Kedah sebagai pemangkin utama pertumbuhan jangka panjang selepas Gas Malaysia menerima kelulusan daripada Suruhanjaya Tenaga (ST) untuk membangunkan terminal tersebut yang disasarkan mula beroperasi menjelang 2030.
Menurutnya, terminal regasifikasi baharu itu penting bagi memastikan bekalan gas yang stabil kepada loji-loji jana kuasa gas baharu yang dijadualkan beroperasi pada 2030.
Malah, RGT4 dijangka menjadi pembekal utama gas kepada loji jana kuasa gas berkapasiti 2.8GW milik Malakoff.
"Berdasarkan andaian perbelanjaan modal sebanyak RM2.1 bilion, kos modal purata wajaran (WACC) 6.9% dan pegangan 70%, kami memasukkan nilai sebanyak 49 sen sesaham daripada projek itu ke dalam penilaian SOP.
"Kami juga melihat potensi kenaikan tambahan sekitar 10% kepada harga sasaran sekiranya kapasiti gas diperuntukkan kepada bahagian penghantar gas Gas Malaysia," katanya.
Kenaikan Tarif RP3
Dalam pada itu, RHB Research berkata, kenaikan tarif sebanyak 20% bagi Regulatory Period 3 (RP3) untuk tempoh 2026 hingga 2028 akan terus menyokong pendapatan stabil syarikat.
Sebagai satu-satunya pengendali Sistem Pengagihan Gas Asli (NGDS), Gas Malaysia memperoleh pulangan tetap yang dikawal selia berdasarkan Regulated Asset Base (RAB) yang semakin berkembang.
Firma itu menganggarkan kelulusan perbelanjaan modal bagi RP3 meningkat 25%, sekali gus membolehkan RAB berkembang kepada RM2.7 bilion menjelang akhir 2028.
Dari segi prestasi kewangan, firma tersebut mengunjurkan keuntungan Gas Malaysia meningkat 4% pada FY26, disokong tarif terkawal yang lebih tinggi walaupun jumlah penghantaran dan MRP dijangka lebih rendah.
Bagi FY27 pula, keuntungan dijangka melonjak 16% hasil peningkatan MRP serta pemulihan jumlah penghantaran sebelum menyederhana dengan penurunan 1% pada FY28 susulan MRP yang lebih rendah.
Margin Bersih Stabil Pada 6%
Secara keseluruhan, firma itu menjangkakan margin bersih kekal stabil sekitar 6%, manakala pendapatan dijangka mencatat kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) sebanyak 6% bagi tempoh FY25 hingga FY28.
Katanya, harga sasaran RM6.50 diperoleh dengan menggunakan nisbah 18 kali pendapatan (P/E) bagi pendapatan berulang FY27 serta mengambil kira nilai aliran tunai terdiskaun (DCF) sebanyak RM634 juta untuk projek RGT4, selain memasukkan diskaun ESG sebanyak 4%.
Antara risiko utama yang boleh menjejaskan unjuran itu ialah MRP yang lebih rendah daripada jangkaan, persaingan daripada penghantar gas lain yang memberi kesan kepada jumlah penghantaran serta kelewatan dalam pentauliahan projek RGT4. - DagangNews.com








