KUALA LUMPUR 18 Mei - SD Guthrie Berhad dilihat mempunyai peluang paling cerah untuk menguasai Boustead Plantations Berhad susulan laporan bahawa Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) sedang menilai bidaan bagi penjualan syarikat perladangan itu, menurut Public Investment Bank (PublicInvest).
Firma penyelidikan itu berkata, SD Guthrie berada pada kedudukan lebih kukuh berbanding pembida lain berikutan model perniagaan minyak sawit bersepadunya serta kapasiti kewangan yang mantap untuk melaksanakan pengambilalihan berskala besar itu.
Tambahnya, langkah pengambilalihan tersebut juga dilihat tepat pada masanya ketika harga minyak sawit mentah (CPO) masih berada pada paras yang menggalakkan meskipun pasaran niaga hadapan CPO baru-baru ini mengalami pembetulan harga.
“SD Guthrie mempunyai kelebihan dari segi operasi dan kewangan. Sekiranya urus niaga itu dimuktamadkan, nisbah gear bersih SD Guthrie dijangka meningkat daripada 36% kepada 52%.
"Pada masa sama, keluasan ladang kumpulan di Malaysia dijangka berkembang ketara daripada 292,122 hektar kepada 364,322 hektar," katanya dalam nota kajian hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN: Tradewinds masih berpeluang walaupun SD Guthrie jadi pilihan bank pelaburan ambil alih Boustead Plantations
Akhbar The Edge Weekly melaporkan LTAT dikatakan sedang mencari pembeli bagi Boustead Plantations Berhad yang dimiliki sepenuhnya olehnya.
Menurut akhbar itu antara pihak yang dikatakan membida aset perladangan tersebut termasuk Tradewinds Plantation milik Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary, SD Guthrie Berhad serta sebuah lagi syarikat perladangan milik persendirian.
Difahamkan, bidaan akhir telah dikemukakan minggu lalu dan keputusan mengenai penjualan itu dijangka dibuat menjelang akhir Jun ini.
Sumber industri berkata, nilai cadangan urus niaga itu sekitar RM2 bilion hingga RM3 bilion lebih rendah berbanding kos penswastaan Boustead Plantations sebanyak RM3.5 bilion yang dilaksanakan pada awal 2024.
PublicInvest berkata, julat harga bidaan sekitar RM2 bilion hingga RM3 bilion adalah munasabah mengambil kira beberapa faktor utama termasuk kedudukan hutang bersih Boustead Plantations sebanyak RM711 juta berdasarkan laporan tahunan FY23.
Selain itu, syarikat berkenaan juga memerlukan perbelanjaan modal yang besar dianggarkan RM423 juta bagi kerja-kerja penanaman semula melibatkan kawasan seluas 28,245 hektar.
Dalam masa sama, hasil tandan buah segar (FFB) Boustead Plantations yang berada di bawah purata nasional sebanyak 13.9 tan metrik sehektar turut mempengaruhi penilaian terhadap aset tersebut. - DagangNews.com








