Dalam dunia korporat Malaysia, tidak semua penjualan aset besar berlaku kerana kelemahan syarikat. Kadangkala ia adalah soal strategi, penyusunan semula dan keperluan menjana nilai baharu daripada aset lama.
Itulah yang sedang berlaku kepada Boustead Plantations Berhad.
Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dilaporkan sedang menilai bidaan untuk menjual syarikat perladangan itu membuka satu lagi episod penting dalam landskap industri sawit negara. Dan daripada semua nama yang disebut-sebut, SD Guthrie Berhad kelihatan paling hampir untuk muncul sebagai pemenang.
Bukan sekadar kerana syarikat itu besar.
Tetapi kerana secara logiknya, hanya SD Guthrie mempunyai kombinasi lengkap dari segi kewangan, operasi dan keupayaan integrasi untuk menjadikan pengambilalihan itu benar-benar berbaloi.
Bank pelaburan lihat SD Guthrie paling kukuh
Pandangan ini turut disokong oleh beberapa bank pelaburan utama yang melihat SD Guthrie sebagai antara pemain paling berstruktur dalam sektor perladangan.
Public Investment Bank (PublicInvest) menegaskan SD Guthrie berada pada kedudukan paling kukuh berbanding pembida lain, berdasarkan skala operasi, kekuatan kunci kira-kira serta keupayaan menyerap aset berskala besar tanpa menjejaskan kestabilan kewangan kumpulan.
PublicInvest turut menekankan kelebihan utama SD Guthrie bukan sekadar saiz, tetapi struktur perniagaan minyak sawit bersepadu yang membolehkan penyepaduan pantas ke atas aset Boustead Plantations, sekali gus memaksimumkan sinergi operasi dan kecekapan kos dalam jangka panjang.
Pandangan ini turut diperkukuh oleh CIMB Securities yang sebelum ini menyifatkan kumpulan perladangan bersepadu berskala besar seperti SD Guthrie berada dalam kedudukan “structurally advantaged”, khususnya dari segi kecekapan operasi, ESG serta daya tahan kitaran industri sawit yang semakin mencabar.
CIMB menegaskan dalam fasa industri yang dipacu oleh skala dan kecekapan, hanya pemain bersepadu besar mempunyai kelebihan mampan untuk menyerap aset matang yang memerlukan pelaburan semula tinggi dan pengurusan produktiviti secara agresif.
Sementara itu, RHB Research turut menekankan kekuatan kapasiti kewangan SD Guthrie, dengan menyifatkan kumpulan itu mempunyai ruang pelaburan yang kukuh untuk menyokong pengembangan strategik tanpa menjejaskan kestabilan pendapatan teras.
RHB sebelum ini mengekalkan pandangan positif terhadap sektor perladangan besar yang mempunyai keupayaan “reinvestment capacity”, iaitu kemampuan membiayai aktiviti penanaman semula dan pengembangan aset secara berterusan dalam kitaran harga komoditi yang berubah-ubah.
ARTIKEL: SD Guthrie dilihat calon paling berpotensi ambil alih Boustead Plantations - PublicInvest
Tradewinds berdepan batas skala dan sinergi
Tradewinds Plantation turut disebut sebagai antara pembida berpotensi, namun pandangan pasaran yang turut disokong oleh bank-bank pelaburan ini menunjukkan bahawa cabaran utama bukan sekadar memperoleh aset, tetapi keupayaan menyerap kos penanaman semula, meningkatkan produktiviti dan membina sinergi operasi pada skala besar dalam tempoh panjang.
Dalam konteks itu, jurang keupayaan antara SD Guthrie dan pembida lain dilihat menjadi faktor penentu utama dalam menentukan siapa yang benar-benar mampu memaksimumkan nilai Boustead Plantations selepas pengambilalihan.
Tradewinds mempunyai pengalaman dalam sektor perladangan, namun skala dan struktur kewangan menjadi faktor kritikal dalam transaksi sebegini — khususnya apabila melibatkan aset yang memerlukan pemulihan produktiviti secara besar-besaran.
Cabaran sebenar Boustead Plantations
Hakikatnya, pengambilalihan Boustead Plantations bukan transaksi murah.
Walaupun nilai bidaan dikatakan sekitar RM2 bilion hingga RM3 bilion — lebih rendah daripada kos penswastaan RM3.5 bilion pada awal 2024 — pembeli sebenarnya turut ‘mewarisi’ beberapa cabaran besar.
Boustead Plantations mempunyai hutang bersih sekitar RM711 juta.
Lebih penting, syarikat itu memerlukan belanja penanaman semula yang tinggi, dianggarkan RM423 juta melibatkan lebih 28,000 hektar ladang.
Dalam industri sawit, umur pokok adalah segalanya.
Pokok tua bermaksud produktiviti rendah, kos meningkat dan pulangan yang memerlukan masa panjang untuk dipulihkan. Sebab itu hasil tandan buah segar (FFB) Boustead Plantations yang berada di bawah purata nasional menjadi antara faktor utama yang menekan penilaiannya.
SD Guthrie dan kelebihan skala industri
Namun di sinilah SD Guthrie mempunyai kelebihan yang sukar ditandingi.
Sebagai syarikat perladangan terbesar negara dengan model operasi bersepadu, SD Guthrie bukan hanya membeli tanah atau pokok sawit. Mereka membeli peluang sinergi.
Rangkaian kilang, logistik, tenaga kerja, eksport dan pengurusan ladang sedia ada membolehkan aset Boustead Plantations diserap dengan lebih pantas dan lebih cekap berbanding pesaing lain.
Jika urus niaga itu menjadi kenyataan, keluasan ladang SD Guthrie di Malaysia boleh meningkat daripada sekitar 292,000 hektar kepada lebih 364,000 hektar.
Itu bukan peningkatan kecil.
Ia memperkukuh lagi dominasi syarikat tersebut dalam industri sawit domestik ketika sektor itu sedang memasuki fasa baharu yang lebih mencabar — tekanan ESG, kos buruh, isu produktiviti dan persaingan minyak sayuran global.
Masa LTAT buat keputusan
Apa yang menarik, penjualan ini berlaku ketika harga minyak sawit mentah (CPO) masih berada pada paras yang agak selesa.
Maka, ini mungkin masa terbaik untuk LTAT merealisasikan nilai aset sebelum kos penanaman semula dan tekanan operasi menjadi lebih berat pada masa hadapan.
Bagi LTAT pula, langkah ini mungkin lebih besar daripada sekadar menjual sebuah syarikat perladangan.
Ia sebahagian daripada usaha lebih luas untuk menyusun semula portfolio pelaburan dan memperkukuh pulangan jangka panjang kepada pencarum tentera.
Beberapa laporan sebelum ini turut menyebut tentang inisiatif penstrukturan semula kumpulan Boustead dan LTAT menerusi pelan dikenali sebagai “Project Earth”.
Malah, Boustead Plantations juga pernah disebut berpotensi disenaraikan semula di Bursa Malaysia dalam tempoh beberapa tahun selepas penambahbaikan operasi dilakukan.
Tetapi persoalannya sekarang mudah:
Adakah lebih menguntungkan untuk LTAT terus menanggung kos pemulihan Boustead Plantations, atau menjualnya sekarang kepada syarikat yang mempunyai kapasiti lebih besar untuk membuka nilai baharu?
Pasaran nampaknya sudah mula memberikan jawapan. Dan buat masa ini, semua petunjuk seolah-olah menghala kepada SD Guthrie. - DagangNews.com








