Selamat tinggal cita-cita jadikan Malaysia syurga kereta elektrik (EV) mampu milik. Selamat kembali dasar perlindungan kereta nasional.
Okay, diesel pun dah turun, batalkan saja ura-ura tukar ke kereta elektrik. Terima kasih ada pilihan raya. Buat tiap bulanlah, pasti diesel tak melantun lagi!
Ini bukan sindiran, tetapi tidak juga suatu pujian. Inilah yang berlegar dalam kepala bila meneliti pelaksanaan dasar EV Malaysia yang kini sedang bergerak ke fasa paling “terkawal” dalam sejarahnya mulai 1 Julai 2026.
Dan kali ini, bukan penganalisis jalanan atau wartawan jurassic yang kata—tetapi Kenanga Investment Bank. Dalam nota penyelidikannya, Kenanga menyifatkan dasar baharu ini "secara efektif menamatkan segmen EV import mampu milik".
Bukan perlahan-lahan. Bukan secara semula jadi. Tetapi “ditamatkan” — termasuk model entry-level daripada jenama seperti BYD, GWM dan MG.
Dengan syarat baharu CIF minimum RM200,000 serta kuasa minimum 180kW, struktur pasaran EV import bukan lagi berubah. Ia sedang dirombak sepenuhnya.
Selepas mengambil kira cukai, duti eksais, SST dan margin pengedar, harga EV CBU dijangka melonjak ke sekitar RM300,000. Itu bukan lagi “entry point”. Itu sudah kategori premium.
Di sinilah titik paling penting dalam keseluruhan dasar ini: EV mampu milik bukan dinaikkan harga. Ia sedang dikeluarkan daripada pasaran.
Lupakan `Peralihan'
Apa yang berlaku bukan sekadar perubahan harga. Ia adalah penghapusan “ladder entry” kepada mobiliti elektrik.
Model seperti BYD Dolphin, GWM Ora dan MG4 bukan sekadar produk. Ia adalah pintu masuk pengguna kelas pertengahan ke dunia EV.
Apabila pintu itu ditutup, EV tidak lagi menjadi peralihan teknologi. Ia menjadi produk aspirasi.
Dan di sinilah sindiran paling halus dasar ini: kita masih bercakap tentang peralihan tenaga, tetapi secara struktur kita sedang mengecilkan akses kepada peralihan itu sendiri.
Percepatkan Pelaburan CKD
MITI berhujah bahawa langkah ini akan mempercepatkan CKD dan menarik pelaburan asing. Secara teori, naratif ini nampak kemas: kurangkan import, tambah nilai tempatan, buka kilang dan cipta pekerjaan.
Namun industri automotif global tidak bergerak berdasarkan paksaan harga minimum semata-mata. Ia bergerak berdasarkan skala pasaran, kebebasan strategi produk dan kepastian dasar jangka panjang.
Bila pasaran EV import mampu milik ditutup, pelabur bukan sahaja melihat peluang CKD. Mereka juga melihat satu isyarat lain: pasaran yang sedang “dikawal”, bukan dibuka.
Dan pelabur tidak membaca niat dasar. Mereka membaca struktur pasaran.
Proton, Perodua
Dalam struktur baharu ini, pemain automotif tempatan jelas diberi perlindungan. Proton dan Perodua mendapat ruang yang lebih besar dalam pasaran domestik, bukan sahaja dari segi harga tetapi juga persaingan.
Rakan teknologi seperti Geely dan Daihatsu pula sudah lama memahami bahawa Malaysia bukan medan persaingan bebas sepenuhnya, tetapi pasaran yang diurus dengan sempadan yang jelas.
Kenanga Research secara tidak langsung menyokong bacaan ini apabila menilai bahawa pemain CKD dan pemasangan tempatan akan menjadi penerima manfaat utama struktur baharu.
Soalnya, dalam industri yang berubah sepantas EV, keselesaan terlalu lama kadang-kadang bukan kelebihan. Ia boleh menjadi kelewatan yang tidak disedari.
Strategi atau Perlindungan Versi Baharu?
Naratif CKD menjadi pusat kepada keseluruhan dasar ini.
Tetapi apabila EV import mampu milik ditamatkan, CKD tidak lagi bersaing dalam pasaran terbuka. Ia bersaing dalam pasaran yang sudah ditapis.
Dan itu mengubah dinamika industri secara asas.
CKD bukan lagi hasil persaingan sebenar. Ia menjadi hasil reka bentuk dasar.
Dalam ekonomi industri, perbezaan ini sangat besar: satu melahirkan inovasi, satu lagi melahirkan kestabilan yang terkawal.
EV Dua Darjat yang Semakin Jelas
Struktur baharu ini mewujudkan dua lapisan EV yang semakin ketara.
Lapisan pertama ialah EV import premium—mahal, eksklusif dan semakin jauh daripada pengguna biasa.
Lapisan kedua ialah EV CKD tempatan—lebih terkawal, lebih domestik, tetapi kurang tekanan persaingan luar.
Masalahnya bukan kewujudan dua lapisan ini. Masalahnya ialah ketiadaan jambatan antara kedua-duanya.
Tanpa EV mampu milik sebagai titik masuk, peralihan EV menjadi proses yang perlahan, bukan kerana teknologi tidak bersedia, tetapi kerana struktur pasaran tidak membenarkan ia berlaku secara organik.
Pelaburan Asing: Datang, Tapi Dalam Sempadan
Dari sudut pelaburan, Malaysia kini menghantar mesej yang agak bercampur.
Datanglah labur CKD. Tetapi produk perlu ikut struktur yang ditetapkan, harga minimum yang disyaratkan dan segmen yang dibenarkan.
Dalam bahasa pelaburan global, ini bukan sekadar “open market”. Ini ialah “managed market”.
Kenanga Research memberi gambaran bahawa pendekatan sebegini mungkin masih menarik pelaburan, tetapi berisiko menjadikan aliran masuk lebih berhati-hati, bukan agresif.
Dalam industri EV, sikap berhati-hati pelabur selalunya bermaksud kelajuan pembangunan yang lebih perlahan. Dan mereka akan memilih bertapak di negara jiran tetangga.
Diesel Stabil, EV Jadi Kurang Mendesak
Di luar semua analisis industri, terdapat satu faktor yang tidak boleh diabaikan: harga bahan api.
Apabila petrol dan diesel kembali stabil seperti hari ini, naratif EV sebagai alternatif ekonomi menjadi semakin lemah. Belum cerita lagi pasal tarif elektrik...
Apabila EV pula menjadi lebih mahal dan lebih terhad, pengguna tidak perlu analisis dasar. Mereka hanya membuat keputusan paling mudah: tunggu dulu.
Faktor serupa saya beritahu kawan-kawan, jangan cepat sangat melompat ke dalam kelompok pembeli kereta EV sebab hal minyak ini ada masa naik, naik... dan ada masa turun, turun. Masa naik pada 1990an, Toyota mempesona dunia dengan model Prius. Tak ke mana pun Prius. Banyak jadi teksi di Jepun dan USA.
Sekarang elok kawan-kawan bertenang dan jangan jual trak pikap anda. Sabar bah! - DagangNews.com








