MM Computer Systems Bhd peroleh kontrak RM25 juta sedia perkhidmatan IT untuk GLC | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MM Computer Systems Bhd peroleh kontrak RM25 juta sedia perkhidmatan IT untuk GLC

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 1 Julai – Penyedia perkhidmatan teknologi maklumat yang baru sahaja disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia, MM Computer Systems Bhd (MMCS) memperoleh dua kontrak bernilai RM24.54 juta daripada sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di Malaysia.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, MMCS berkata kontrak tersebut diterima melalui anak syarikat milik penuhnya, Micro Technology Solution Sdn Bhd (MTS) selepas menerima dua surat anugerah bertarikh 30 Jun 2026.

 

“Kontrak berkenaan masing-masing bernilai RM12.24 juta dan RM12.31 juta, termasuk cukai jualan dan perkhidmatan (SST), menjadikan jumlah keseluruhan nilai kontrak RM24.54 juta.

 

“Di bawah perjanjian tersebut, MTS akan menyediakan perkhidmatan sokongan penyelenggaraan pelayan (server) dan rangkaian bagi memastikan kelancaran operasi sistem teknologi maklumat pelanggan.

 

“Tempoh kontrak ditetapkan selama tiga tahun bermula 1 Julai 2026 sehingga 30 Jun 2029 kecuali ditamatkan lebih awal mengikut terma perjanjian yang dipersetujui kedua-dua pihak,” katanya.

 

Menurut MMCS, pelanggan kontrak tersebut dikenal pasti sebagai sebuah GLC tersenarai di Pasaran Utama yang terlibat dalam penjanaan, penghantaran, pengagihan serta penjualan tenaga elektrik di Malaysia.

 

Bagaimanapun, syarikat itu tidak mendedahkan identiti pelanggan berkenaan kerana kebenaran untuk pengumuman nama masih belum diperoleh.

 

MMCS berkata kontrak berkenaan dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan sesaham (EPS) serta aset bersih sesaham kumpulan sepanjang tempoh kontrak berlangsung. //bagi beberapa tajuk sesuai. - DagangNews.com