KUALA LUMPUR 1 Julai - Sektor pembinaan dijangka memasuki separuh kedua 2026 dengan momentum yang lebih kukuh, didorong oleh perkembangan pesat industri pusat data serta pelaksanaan beberapa projek infrastruktur berskala besar yang dijangka meningkatkan aktiviti penganugerahan kontrak.
Maybank Investment Bank (Maybank IB) menganggarkan sektor pusat data berpotensi menjana kontrak pembinaan bernilai kira-kira RM40 bilion pada masa hadapan.
Menurut firma penyelidikan itu, unjuran tersebut dibuat berdasarkan 10 perjanjian bekalan elektrik yang dimeterai oleh Tenaga Nasional Bhd (TNB) bagi kapasiti pusat data berjumlah 2,000 megawatt (MW).
"Dengan andaian kos pembinaan sekitar RM20 juta bagi setiap MW, kami menganggarkan potensi kontrak berkaitan pusat data mencecah RM40 bilion," katanya dalam satu nota penyelidikan.
Maybank IB turut mendedahkan bahawa beberapa syarikat multinasional berskala besar sedang giat memperoleh tanah di Malaysia bagi pembangunan pusat data, sekali gus mengukuhkan prospek sektor mekanikal dan elektrikal (M&E) pada separuh kedua tahun kewangan 2026 (2H26).
Firma itu menjangkakan penganugerahan pakej kerja mekanikal, elektrikal dan perpaipan (MEP) akan dipercepatkan susulan pelaksanaan pakej subkontrak yang berkaitan dengan kontrak utama pembinaan pusat data bernilai RM10.3 bilion yang telah dianugerahkan pada 2025.
"Berdasarkan turutan pelaksanaan projek yang lazim, pakej MEP biasanya dianugerahkan dalam tempoh enam hingga 12 bulan selepas mobilisasi tapak, iaitu selepas kerja-kerja tanah dan pembinaan substruktur disiapkan," katanya.
Projek Infrastruktur
Selain projek pusat data, Maybank IB berkata pelaksanaan projek-projek infrastruktur dijangka terus menyokong pertumbuhan buku tempahan kontraktor tempatan.
Firma itu berkata sektor pembinaan kekal berdaya tahan sepanjang enam bulan pertama 2026 walaupun margin keuntungan berkemungkinan terjejas pada suku kedua berikutan kenaikan harga diesel.
Bagaimanapun, penurunan harga diesel sejak kebelakangan ini dijangka membantu pemulihan margin keuntungan syarikat pembinaan pada tempoh akan datang.
Dalam tempoh enam bulan akan datang, Maybank IB menjangkakan beberapa projek mega akan mula dianugerahkan, termasuk projek pemindahan air Pulau Pinang–Perak bernilai RM5 bilion, kerja-kerja sistem Laluan LRT Mutiara Pulau Pinang (RM3 bilion), jambatan rel merentasi laut Laluan LRT Mutiara Pulau Pinang (RM4 bilion) serta Loji Rawatan Air Langat 2 Fasa 2 (RM4 bilion).
Menurut firma penyelidikan itu, gabungan projek pusat data dan pembangunan infrastruktur berskala besar dijangka terus menjadi pemacu utama pertumbuhan sektor pembinaan domestik sepanjang separuh kedua tahun ini. - DagangNews.com








