Mi Technovation berdepan pengurangan pegangan berikutan penyenaraian anak syarikat di Singapura, kata PublicInvest | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Mi Technovation berdepan pengurangan pegangan berikutan penyenaraian anak syarikat di Singapura, kata PublicInvest

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 1 Julai — Cadangan penyenaraian anak syarikat pemprosesan bahan semikonduktor di Bursa Singapura dikhuatiri menyebabkan pengurangan pegangan Mi Technovation Berhad kepada 72.6%.

 

Menurut analisis Public Investment Bank (PublicInvest), kumpulan itu turut berdepan cabaran besar pengkomersialan wafer silikon karbida (SiC) bagi mengekalkan momentum pertumbuhan perniagaan.

 

Justeru, firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'outperform' terhadap saham syarikat ini dengan harga sasaran (TP) RM5.50 sesaham berdasarkan 35 kali unjuran pendapatan sesaham (EPS) pada FY27.

 

"Lawatan kami ke kilang pengeluaran bebola pateri Mi Technovation di Taiwan namun memperlihatkan kekuatan teknologinya, dan jangkaan memenuhi sasaran pembangunan ke atas produk Vanda 1," katanya.

 

Perniagaan itu ujar PublicInvest, menyumbang lebih 50% keuntungan serta disokong permintaan kukuh industri cip memori dan kecerdasan buatan (AI), dengan jumlah jualan naik 35% pada tempoh 1QFY26.

 

Firma itu menjangkakan momentum tersebut berterusan membolehkan jumlah jualan meningkat sekurang-kurangnya 18%, manakala tempahan tertunggak kini sudah bertambah kepada empat hingga enam minggu.

 

Mi technovation_DagangNews2026

 

Bagaimanapun penyenaraian Unit Perniagaan Bahan Semikonduktor (SMBU) di Papan Utama Bursa Singapura menjelang akhir tahun ini dijangka mengurangkan pegangan Mi Technovation kepada 72.6%.

 

"Ia dilaksanakan menerusi terbitan saham baharu dan penjualan sebahagian pegangan sedia ada, dengan  nilai pasaran Mi Material Holding selepas penyenaraian dianggarkan RM2.2 bilion," kata PublicInvest

 

Bagi mengimbangi kesan pencairan pendapatan susulan langkah itu, SMBU perlu mencatat pertumbuhan keuntungan sekurang-kurangnya 38% pada FY27, yang disifatkannya sebagai masih lagi realistik.

 

Situasi tersebut ujarnya berikutan sumbangan kilang baharu Mi Technovation di Senai, Johor yang mempunyai kapasiti bersamaan kira-kira 30% daripada kapasiti kilang di Tainan, Taiwan selama ini.

 

Selain itu jelas PublicInvest, pihak pengurusan merancang menyatukan operasi di Malaysia di tapak lebih besar bagi meningkatkan lagi kecekapan operasi dan menyokong pertumbuhan jangka panjang.

 

"Kami namun mengingatkan kejayaan ini bergantung kepada keupayaan melaksanakan penyenaraian SMBU mengikut jadual, dan mempercepatkan pengkomersialan teknologi wafer SiC," katanya. - DagangNews.com