ICT Zone sukar penuhi sasaran buku tempahan RM500 juta disebabkan kadar kejayaan hanya 10% - TA Securities | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

ICT Zone sukar penuhi sasaran buku tempahan RM500 juta disebabkan kadar kejayaan hanya 10% - TA Securities

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 1 Julai — Sasaran ICT Zone Asia Berhad untuk meningkatkan nilai buku tempahannya kepada RM500 juta dalam tempoh sederhana dikhuatiri sukar dipenuhi, menurut analisis TA Securities.

 

Firma penyelidikan tersebut berpandangan, penilaian itu berdasarkan rekod sejarah kadar kejayaan tender syarikat berkenaan sebelum ini yang hanya mencapai sekitar 10% selepas berusaha keras.

 

Sehubungan itu ujarnya, pencapaian tinggi tersebut bakal bergantung kepada keupayaan kumpulan untuk memenangi lebih banyak kontrak baharu daripada pelbagai tender yang dianggar berjumlah RM700 juta.

 

"Kami namun berpandangan sasaran ICT Zone itu mampu diraih, disokong model pembiayaan yang kukuh, pengembangan perniagaan serta pertumbuhan permintaan terhadap rumusan digital," kata TA Securities.

 

Justeru, ia mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) 31 sen sesaham, tanpa mengubah unjuran pendapatan, berikutan keyakinan terhadap model perniagaan berasaskan hasil yang berulang.

 

Menurutnya, kumpulan itu sudah mempunyai buku tempahan bernilai RM280.7 juta setakat 30 April 2026, dengan pengiktirafan hasil masing-masing sebanyak RM84.4 juta pada FY27 dan RM90 juta pada FY28.

 

IC Zone Asia_DagangNews2026

 

Perkembangan itu jelas TA Securities, menyediakan asas pendapatan ICT Zone yang kukuh dan lebih jelas untuk tempoh dua tahun dengan isu pembiayaan projek bukan lagi menjadi kekangan bagi FY27.

 

"Kumpulan menyasarkan buku tempahan melebihi RM350 juta sebelum RM500 juta dalam jangka sederhana, disokong model pembiayaan dengan nisbah 20% ekuiti dan 80% pembiayaan bank," katanya.

 

Selain pasaran tempatan, syarikat turut merancang perluasan ke Singapura, Indonesia dan Vietnam, sekali gus membuka peluang pertumbuhan baharu yang masih belum diambil kira dalam unjuran semasa.

 

Dalam perkembangan lain tambah TA Securities, ICT Zone memperkenalkan platform Sewaje, menandakan kemasukan ke segmen langganan peranti pengguna dengan sasaran awal pelajar sekolah dan universiti.

 

Model ini menawarkan margin keuntungan yang lebih tinggi kerana menggunakan semula peranti daripada operasi sedia ada tanpa memerlukan pembelian aset baharu, dan mewujudkan kelebihan daya saing.

 

"Kami berpandangan kitaran penggunaan komputer peribadi berasaskan kecerdasan buatan (AI PC) serta peningkatan harga perkakasan dijangka memacu permintaan terhadap model ini," katanya. - DagangNews.com