KUALA LUMPUR 1 Julai - Public Investment Bank (PublicInvest) menurunkan unjuran pendapatan Kawan Renergy Berhad bagi tahun kewangan 2026 hingga 2028 selepas mengambil kira tekanan margin yang berpunca daripada kos projek di Sabah serta kesan peluasan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang berkuat kuasa pada September 2025.
Firma penyelidikan itu berkata, impak terhadap margin ketika ini dilihat sebahagian besarnya bersifat sekali sahaja (one-off) dan khusus kepada projek tertentu, yang dijangka kembali normal dalam beberapa suku akan datang sebaik sahaja projek berkenaan disiapkan.
Bagaimanapun, pihaknya turut mengambil kira kesan struktur terhadap margin susulan peluasan skop SST memandangkan beberapa kontrak sedia ada tidak dapat memindahkan sepenuhnya kos cukai tambahan kepada pelanggan pada peringkat ini.
"Sehubungan itu, kami menurunkan unjuran pendapatan bagi FY26, FY27 dan FY28 masing-masing sebanyak 21%, 6% dan 6%," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Firma itu bagaimanapun mengekalkan saranan "Neutral", namun menurunkan harga sasaran (TP) kepada RM0.51 daripada RM0.54 sebelum ini selepas mengambil kira semakan unjuran pendapatan.
Harga sasaran baharu itu disandarkan kepada penilaian 15.4 kali pendapatan sesaham (EPS) hadapan bagi tempoh 12 bulan sebanyak 3.31 sen, dengan pelaksanaan margin kekal sebagai pemacu utama yang akan menentukan prestasi syarikat pada masa hadapan.
Rundingan Semula
Menurut firma itu, pihak pengurusan syarikat kini sedang mengadakan rundingan bagi mendapatkan semula kos tambahan yang telah ditanggung dalam projek berkenaan.
"Oleh itu, kami berpandangan penyusutan margin pada ketika ini lebih bersifat khusus kepada projek tersebut, namun kebolehan syarikat mendapatkan semula kos tambahan itu masih belum dapat dipastikan," katanya.
Kawan Renergy mencatat prestasi kewangan yang lebih lemah bagi suku kedua tahun kewangan 2026 (2QFY26) apabila keuntungan bersih teras yang boleh diagihkan kepada pemegang saham (core PATAMI) merosot 91.3% suku ke suku (QoQ) dan 89.9% tahun ke tahun (YoY) kepada hanya RM0.5 juta.
Prestasi yang mengecewakan itu sebahagian besarnya disebabkan lebihan kos (cost overruns) bagi projek loji janakuasa di Sabah.
Difahamkan lebihan kos tersebut berpunca daripada skop kerja tambahan yang dilaksanakan di luar perjanjian asal, selain peningkatan penempatan tenaga kerja bagi mengurangkan kelewatan pelaksanaan projek.
Bagi separuh pertama tahun kewangan 2026 (1HFY26), keuntungan teras kumpulan berjumlah RM6 juta, yang hanya memenuhi 34.7% daripada unjuran pendapatan setahun penuh firma penyelidikan dan 27.8% daripada jangkaan konsensus.
Prestasi itu disifatkan berada di bawah jangkaan, sekali gus mencerminkan tekanan terhadap margin keuntungan susulan peningkatan kos pelaksanaan projek. - DagangNews.com








