KUALA LUMPUR 1 Julai – Malaysia perlu memanfaatkan cabaran ketidaktentuan geopolitik dan ekonomi global ketika ini sebagai peluang untuk memperkukuh daya tahan ekonomi negara bagi jangka panjang, dan bukannya hanya memberi tumpuan kepada langkah menangani krisis dalam tempoh terdekat.
Felo Penyelidik Institut Penyelidikan Khazanah (KRI), Dr. Nur Fareza Mustapha berkata, konflik di Timur Tengah serta gangguan terhadap rantaian bekalan tenaga global menunjukkan persamaan dengan kejutan minyak yang melanda dunia pada era 1970-an.
Menurut beliau, walaupun tumpuan lazimnya diberikan kepada minyak mentah dan gas asli cecair (LNG), kesannya boleh merebak ke sektor pertanian, pengangkutan serta bekalan barangan keperluan, sekali gus memberi tekanan kepada isi rumah dan komuniti perniagaan.
Beliau berkata, embargo minyak pada 1973 yang dikenakan oleh negara-negara Arab pengeluar minyak selepas beberapa negara Barat menyokong Israel ketika Perang Arab-Israel menjadi pengajaran penting apabila harga minyak mentah melonjak daripada AS$2.90 setong kepada AS$11.65 setong dalam tempoh hanya tiga bulan.
"Kenaikan mendadak itu mencetuskan fenomena stagflasi di peringkat global yang dicirikan oleh inflasi tinggi, peningkatan pengangguran serta pertumbuhan ekonomi yang perlahan.
"Malaysia turut menerima tempias apabila harga import makanan meningkat lebih 37% pada 1974, manakala kos bahan api, baja dan bahan kimia pertanian melonjak dengan ketara. Pertumbuhan ekonomi negara turut merosot kepada 3.5% pada 1975 berbanding purata 8.4% setahun antara 1971 hingga 1974," katanya lapor NST.
Nur Fareza berkata, perkembangan semasa turut membawa risiko yang hampir sama sekiranya gangguan terhadap laluan perkapalan di Selat Hormuz berlarutan.
Katanya, selat tersebut merupakan laluan utama bagi kira-kira 20% perdagangan minyak mentah dan LNG dunia, justeru sebarang gangguan berpanjangan boleh mengakibatkan kekurangan bekalan walaupun ketegangan geopolitik akhirnya reda.
Beliau turut mengingatkan bahawa perubahan dalam sistem perdagangan dan kewangan global berpotensi membawa implikasi yang lebih besar kepada ekonomi dunia.
"Jika usaha mengalihkan mata wang penanda aras perdagangan daripada dolar Amerika Syarikat kepada renminbi China berjaya dilaksanakan, ia boleh mengubah landskap institusi kewangan global dengan kesan yang lebih meluas daripada jangkaan semasa," katanya.
Bagaimanapun, beliau menegaskan sejarah membuktikan bahawa setiap krisis besar turut membuka ruang kepada pembaharuan ekonomi yang mampu membawa manfaat jangka panjang.
Menurutnya, kejutan minyak pada 1970-an mendorong Malaysia menubuhkan PETRONAS menerusi Akta Pembangunan Petroleum 1974, sekali gus memberi syarikat minyak nasional itu kawalan ke atas sumber petroleum negara dan mewujudkan antara sumber hasil terpenting kepada kerajaan.
Selain itu, kerajaan turut memperkenalkan Rancangan Buku Hijau pada 1974 bagi menggalakkan pengeluaran makanan dan penggunaan tanah secara optimum untuk mengurangkan kekurangan bekalan serta meningkatkan pendapatan masyarakat luar bandar.
Beliau berkata, pengalaman tersebut membuktikan bahawa krisis boleh menjadi titik perubahan penting dalam membentuk hala tuju pembangunan negara untuk beberapa dekad akan datang.
"Ketika negara berdepan ketidaktentuan semasa, Malaysia perlu mengenal pasti dan melaksanakan laluan pembangunan yang mampu meningkatkan kesejahteraan rakyat, memperkukuh produktiviti syarikat serta menjadikan ekonomi lebih berdaya tahan," katanya.
Tambah beliau, langkah jangka pendek seperti pengurusan subsidi bahan api masih penting, namun perlu disokong dengan reformasi yang lebih menyeluruh bagi meningkatkan produktiviti, memperkukuh daya tahan ekonomi dan menaikkan taraf hidup rakyat.
Katanya, intervensi strategik tersebut juga perlu diselaraskan dengan aspirasi yang digariskan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) serta kerangka Malaysia MADANI bagi memastikan pembangunan ekonomi negara lebih mampan dan inklusif. - DagangNews.com








