PAC mengesahkan penswastaan MAHB mematuhi undang-undang | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

PAC mengesahkan penswastaan MAHB mematuhi undang-undang

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 1 Julai -  Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mengesahkan pengambilalihan dan penswastaan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) dilaksanakan mengikut undang-undang serta mematuhi Kod Pengambilalihan dan Percantuman Malaysia.

 

Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, perkara itu disahkan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dan Bursa Malaysia selepas jawatankuasa berkenaan meneliti isu-isu berkaitan MAHB serta pengurusan lapangan terbang awam.

 

Beliau berkata, Kementerian Kewangan, Kementerian Pengangkutan, Khazanah Nasional Bhd dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) turut memberi jaminan bahawa kedaulatan negara di pintu masuk utama kekal terpelihara kerana tanah serta aset lapangan terbang masih dimiliki kerajaan, manakala MAHB hanya berperanan sebagai pengendali.

 

"MAHB dan konsortium yang diketuai Khazanah tidak mempunyai akses kepada data sulit seperti rekod imigresen yang kekal di bawah kawalan kementerian atau agensi berkaitan," katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.

 

Menurut beliau, syarikat-syarikat penerbangan tempatan lebih memberi keutamaan kepada kejayaan pelan transformasi MAHB berbanding isu struktur pemilikan syarikat.

 

Malah, mereka turut menggesa supaya pelaburan modal dipertingkatkan dan standard operasi lapangan terbang terus ditambah baik bagi menyokong pertumbuhan industri penerbangan negara.

 

Penswastaan Bernilai RM12.3 bilion

MAHB telah diswastakan pada Februari 2025 menerusi pengambilalihan bernilai RM12.3 bilion oleh konsortium yang diketuai Khazanah Nasional pada harga RM11 sesaham.

 

Selepas urus niaga itu dimuktamadkan, Khazanah dan KWSP masing-masing memiliki 40% dan 30% pegangan dalam MAHB, manakala baki 30% dipegang oleh Abu Dhabi Investment Authority (ADIA) dan Rakan Kongsi Infrastruktur Global (GIP) BlackRock.

 

Penswastaan itu sebelum ini menerima kritikan daripada beberapa pihak yang mendakwa KWSP mengalami kerugian kira-kira RM500 juta selepas membeli semula saham MAHB pada harga yang lebih tinggi berbanding harga jualan terdahulu.

 

Bagaimanapun, PAC mengesyorkan supaya kerajaan terus mengekalkan sekurang-kurangnya 70% kepentingan strategik dalam MAHB walaupun syarikat itu kini telah dinyahsenaraikan.

 

"Lapangan terbang merupakan aset strategik negara. Sebarang perubahan terhadap struktur pemilikan yang melibatkan aset strategik atau kepentingan negara hendaklah mendapat kelulusan Jemaah Menteri serta dilaksanakan secara telus," katanya.

 

Wajibkan Laporan Berkala

Dalam pada itu, PAC turut mengesyorkan supaya Kementerian Pengangkutan dan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mewajibkan MAHB menerbitkan laporan berkala mengenai prestasi operasi dan tahap perkhidmatan.

 

Selain itu, Kementerian Kewangan dan Kementerian Pengangkutan perlu memastikan laporan kemajuan serta kedudukan kewangan bagi projek-projek utama termasuk aerotrain, sistem pengendalian bagasi dan projek pembangunan lapangan terbang dibentangkan secara berkala kepada Dewan Rakyat dan PAC.

 

Mas Ermieyati berkata, hasil siasatan PAC mendapati gangguan berulang terhadap kemudahan lapangan terbang seperti aerotrain, kelewatan menaik taraf sistem pengendalian bagasi serta kegagalan kemudahan asas berpunca daripada kelemahan penyelenggaraan yang berlarutan dan kekurangan pelaburan modal.

 

Beliau berkata, masalah seperti tandas rosak, kebocoran bumbung dan jambatan udara yang tidak berfungsi turut dikaitkan dengan pelantikan kontraktor yang kurang kompeten.

 

Sehubungan itu, PAC mengesyorkan proses perolehan diperkukuhkan menerusi saringan yang lebih ketat dengan penglibatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), CAAM dan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC).

 

Pada masa sama, jawatankuasa itu mencadangkan supaya MAHB bekerjasama dengan kementerian berkaitan, termasuk Kementerian Kewangan, Kementerian Pengangkutan, Kementerian Pelancongan, Kementerian Pelaburan serta syarikat penerbangan bagi merangka pelan pembangunan lapangan terbang negara yang lebih bersepadu.

 

MAHB juga disaran mewujudkan platform libat urus secara berkala bersama syarikat penerbangan utama seperti Malaysia Aviation Group, AirAsia dan Batik Air bagi memastikan pembangunan lapangan terbang mengambil kira keperluan operasi syarikat penerbangan dan tidak lagi dilaksanakan secara reaktif atau unilateral. - DagangNews.com