Juruaudit beri amaran ketidakpastian kemampuan Ecobuilt untuk terus beroperasi sebagai usaha berterusan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Juruaudit beri amaran ketidakpastian kemampuan Ecobuilt untuk terus beroperasi sebagai usaha berterusan

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 1 Julai – Ecobuilt Holdings Bhd menerima pendapat audit berkelayakan bagi penyata kewangan tahun berakhir 28 Februari 2026 (FY2026) selepas juruaudit luarnya membangkitkan ketidakpastian material terhadap keupayaan kumpulan untuk terus beroperasi sebagai usaha berterusan (going concern).

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Ecobuilt berkata juruaudit luar syarikat, PKF PLT, tidak dapat memperoleh bukti audit yang mencukupi dan bersesuaian berhubung baki pemiutang perdagangan yang telah lama tertunggak berjumlah RM3.46 juta setakat 28 Februari 2026.

 

Menurut laporan audit itu, PKF PLT gagal mendapatkan pengesahan luaran daripada pemiutang berkenaan selain tidak dapat melaksanakan prosedur audit alternatif yang memuaskan bagi mengesahkan baki tersebut.

 

Juruaudit itu turut mengenal pasti percanggahan antara baki pemiutang perdagangan yang direkodkan oleh kumpulan dengan penyata yang diterima daripada pemiutang.

 

Semakan mendapati kemungkinan berlaku kurang nyata (understatement) sebanyak RM7.26 juta dan lebih nyata (overstatement) sebanyak RM5.52 juta dalam baki pemiutang perdagangan setakat 28 Februari 2026, selain percanggahan yang masih belum diselaraskan turut dikesan bagi tahun kewangan sebelumnya.

 

Sehubungan itu, PKF PLT berkata ia tidak dapat menentukan sama ada sebarang pelarasan perlu dibuat terhadap penyata kewangan kumpulan.

 

Artikel berkaitan: Ecobuilt berdepan risiko digantung dagangan, jika gagal keluarkan laporan tahunan 2026 pada 7 Julai

 

Selain itu, juruaudit turut menarik perhatian bahawa Ecobuilt mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM7.62 juta bagi FY2026, manakala liabiliti semasa kumpulan melebihi aset semasa sebanyak RM2.08 juta.

 

Menurut PKF PLT, keadaan tersebut menunjukkan wujud ketidakpastian material yang boleh menimbulkan keraguan ketara terhadap keupayaan kumpulan untuk meneruskan operasi sebagai usaha berterusan.

 

Langkah Penambahbaikan

Sebagai maklum balas, Ecobuilt berkata pihaknya telah dan akan terus melaksanakan pelbagai langkah penambahbaikan bagi memperkukuh kawalan dalaman, proses perakaunan serta prosedur pemantauan kewangan.

 

Katanya, kumpulan juga sedang menambah baik prosedur penyelarasan akaun, dokumentasi sokongan dan proses pelaporan kewangan, termasuk melaksanakan semakan berkala terhadap anggaran serta pertimbangan perakaunan yang signifikan bagi menangani isu yang menjadi asas kepada pendapat audit berkelayakan tersebut.

 

Ecobuilt menyasarkan untuk menyelesaikan semua isu berkenaan dalam tempoh 12 bulan dari tarikh pengumuman.

 

Dalam perkembangan berkaitan, syarikat itu turut memaklumkan bahawa laporan tahunan FY2026 telah berjaya diserahkan kepada Bursa Malaysia dalam tempoh yang ditetapkan, sekali gus mengelakkan risiko penggantungan dagangan sahamnya.

 

Sebelum ini, Ecobuilt memaklumkan kemungkinan gagal memenuhi tarikh akhir penyerahan laporan tahunan kerana memerlukan masa tambahan untuk memuktamadkan penyata kewangan yang telah diaudit.  - DagangNews.com