Risiko projek di Indonesia jadi cabaran utama Press Metal namun MBSB Research tetap saran 'beli' saham | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Risiko projek di Indonesia jadi cabaran utama Press Metal namun MBSB Research tetap saran 'beli' saham

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 1 Julai — Risiko pelaksanaan projek strategik di Indonesia dikenal pasti sebagai cabaran utama boleh menjejaskan prestasi Press Metal Aluminium Holdings Berhad dalam tempoh sederhana.

 

MBSB Research turut menilai ketidaktentuan harga aluminium global, kenaikan kos bahan mentah, dan kemungkinan perubahan dasar bekalan tenaga boleh diperbaharui (RE) antara masalah perlu diteliti pelabur.

 

Bagaimanapun, firma penyelidikan tersebut yang memulakan liputan ke atas kumpulan itu berpandangan risiko berkenaan masih terkawal dan tidak menjejaskan prospek pertumbuhan jangka panjang syarikat.

 

"Justeru kami memberi saranan 'beli' ke atas Press Metal dan menetapkan harga sasaran (TP) RM9.78 sesaham, berasaskan unjuran pendapatan sesaham (EPS) FY27 sebanyak 36.2 sen," katanya dalam nota.

 

Menurut MBSB Research, asas industri kekal kukuh disokong had kapasiti peleburan aluminium China, inventori global masih rendah serta permintaan berterusan sektor kenderaan elektrik (EV) dan RE.

 

Press Metal_DagangNews2026

 

Katanya, kumpulan itu muncul sebagai antara pengeluar aluminium paling kompetitif di dunia kerana mempunyai kelebihan kos melalui penggunaan tenaga hidro di Taman Perindustrian Samalaju, Sarawak.

 

Situasi ini ujarnya, mengurangkan kebergantungan Press Metal kepada tenaga berasaskan bahan api fosil yang mahal kerana bil elektrik menyumbang hampir 30% daripada kos pengeluaran aluminium.

 

"Strategi integrasi juga memacu keuntungan menerusi pegangan dalam Nanshan Aluminium International Holdings dan PT Kalimantan Alumina Nusantara (PT KAN) di Indonesia," tambah analisis MBSB Research.

 

Projek yang dijangka memulakan operasi pada 2027 berupaya menghasilkan sejuta tan alumina setahun dan membekalkan 40% keperluan alumina kumpulan itu, serta dapat meningkatkan jaminan stok semasa.

 

Pada masa sama, Press Metal terus meningkatkan sumbangan produk nilai tambah (VAP) seperti rod dawai yang menyumbang 47% daripada jumlah jualan pada FY25, dan dijangka menyokong margin stabil.

 

Press Metal_DagangNews2026

 

Bagi tempoh FY26 hingga FY28, MBSB Research mengunjurkan keuntungan teras syarikat berkembang masing-masing sebanyak 24.3%, 11.8% dan 8.9% kepada RM2.67 bilion, RM2.98 bilion dan RM3.25 bilion.

 

"Bagaimanapun, kami mengingatkan yang isu kelembapan ekonomi dunia, penyusutan permintaan daripada sektor pembinaan, pembuatan dan EV, boleh memberi tekanan terhadap prestasi kewangan," katanya.

 

Press Metal juga berdepan kenaikan semula harga alumina, kelewatan pelaksanaan PT KAN, perubahan tarif elektrik di Sarawak, gangguan bekalan tenaga hidro, selain risiko geopolitik berlanjutan. 

 

Sehubungan itu, MBSB Research berpendapat penurunan harga saham pada ketika ini lebih mencerminkan penyusutan premium risiko geopolitik berbanding faktor kemerosotan asas perniagaan syarikat.

 

Dengan kelebihan sebagai pengeluar aluminium berasaskan RE, dan integrasi huluan, ia menjangkakan saham kumpulan itu mempunyai ruang untuk dinilai lebih tinggi pada masa depan. - DagangNews.com