Harga diesel turun 20 sen kepada RM4.67 seliter bagi tempoh 4 Jun hingga 10 Jun 2026 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Harga diesel turun 20 sen kepada RM4.67 seliter bagi tempoh 4 Jun hingga 10 Jun 2026

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 3 Jun - Harga runcit diesel di Semenanjung Malaysia diturunkan 20 sen kepada RM4.67 seliter bagi tempoh 3 Jun hingga 10 Jun 2026 berbanding RM4.87 minggu lepas, menurut Kementerian Kewangan.

 

Harga diesel tanpa subsidi RM4.67 seliter pula adalah lebih dua kali ganda berbanding harga diesel bersubsidi pada RM2.15 seliter, bagi mengurangkan kesan kenaikan kos bahan api kepada rakyat, khususnya melalui sektor pengangkutan awam dan logistik barangan pengguna.

 

Di bawah BUDI MADANI RON95 (BUDI95), Kerajaan MADANI mengekalkan harga petrol RON95 bersubsidi pada RM1.99 seliter bagi lebih 14 juta penerima yang layak.

 

 

 

 

 

 

Berdasarkan harga RON95 tanpa subsidi semasa pada RM3.72 seliter, penggunaan sebanyak 200 liter akan menelan kos RM744. Ini bermakna Kerajaan MADANI menanggung sehingga RM346 bagi setiap penerima yang menggunakan kelayakan penuh BUDI95.

 

Dengan siling kelayakan bulanan sehingga 200 liter, penerima BUDI95 hanya perlu membayar sehingga RM398 sebulan bagi penggunaan penuh kelayakan tersebut.

solar

 

Selaras dengan formula Automatic Pricing Mechanism (APM), harga runcit petrol dan diesel bagi minggu ini diturunkan berikutan penyusutan purata harga pasaran antarabangsa pada minggu terdahulu.

 

Namun begitu, penurunan harga runcit minggu ini tidak menandakan pasaran petroleum global kembali stabil. Sebaliknya, menjelang tempoh 100 hari konflik serta perkembangan terkini di Asia Barat, masih wujud risiko tinggi bahawa harga minyak mentah dan produk petroleum kekal pada paras tinggi dalam jangka sederhana.

 

Mutakhir ini, negara-negara pengimport utama di Asia terpaksa meningkatkan pembelian minyak mentah daripada sumber alternatif bagi menampung gangguan bekalan dari Asia Barat. Walaupun import minyak mentah dari Amerika Syarikat ke Asia meningkat ke paras tertinggi, peningkatan itu masih belum mencukupi untuk menggantikan kehilangan bekalan akibat gangguan laluan perdagangan utama.

 

Keadaan ini menunjukkan pasaran petroleum global masih berdepan kekangan bekalan fizikal, meskipun purata harga pasaran minggu terdahulu mencatatkan penyusutan. Sekiranya konflik berlarutan, risiko penyusutan inventori global serta kekurangan bekalan boleh memberi tekanan baharu kepada harga minyak mentah dan produk petroleum dalam tempoh akan datang.

 

 

 

 

 

 

Di sebalik kekangan bekalan global itu, Kerajaan MADANI terus mengekalkan harga produk petroleum bersubsidi secara bersasar bagi membantu memelihara kelangsungan hidup rakyat serta operasi sektor tertentu dalam keadaan pasaran global yang masih tidak menentu.

 

Kerajaan MADANI turut menyeru rakyat agar terus mengamalkan penggunaan bahan api secara berhemat melalui perancangan perjalanan yang lebih cekap serta mengurangkan perjalanan yang tidak perlu bagi membantu keterjaminan bekalan negara. - DagangNews.com