KUALA LUMPUR 27 Ogos - Kabinet secara prinsipnya meluluskan cadangan pembinaan lebuh raya bertingkat yang menghubungkan Bandar Malaysia di selatan Kuala Lumpur dengan Seri Kembangan, Selangor, dalam usaha meningkatkan kesalinghubungan rangkaian jalan raya dan menangani kesesakan di Lembah Klang.
Menteri Kerja Raya, Alexander Nanta Linggi, berkata lebuh raya berkenaan akan menghubungkan beberapa rangkaian lebuh raya utama termasuk Lebuh Raya Kuala Lumpur-Seremban, MEX, Sungai Besi (Besraya), New Pantai (NPE), Kesas serta rangkaian Lebuh Raya Sprint.
Menurut beliau, BSE berpotensi menyediakan laluan alternatif kepada pengguna jalan raya selain memperbaiki aliran trafik antara koridor utara, selatan dan Pantai Timur Semenanjung Malaysia.
“Dari perspektif kesejahteraan rakyat, BSE berpotensi mengurangkan masa perjalanan serta meningkatkan akses ke pusat pekerjaan, institusi pendidikan dan perkhidmatan awam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN: LSH Infra, Pertama Makmur dipilih sebagai pemaju Lebuhraya Bertingkat Bandar Malaysia-Seri Kembangan
Beliau berkata, Kementerian Kerja Raya akan menjalankan rundingan dan penilaian terperinci bagi memuktamadkan struktur pelaksanaan projek bersama agensi berkaitan termasuk Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS), Jabatan Perdana Menteri.
Dibiayai swasta, tiada komitmen kerajaan
Nanta berkata, lebuh raya berkenaan akan dibiayai sepenuhnya oleh pihak swasta dan tidak melibatkan sebarang komitmen kewangan daripada kerajaan Persekutuan.
Bagaimanapun, katanya, kerajaan akan memastikan semua aspek projek dinilai secara menyeluruh sebelum keputusan muktamad mengenai pelaksanaannya dibuat.
“Kerajaan akan memastikan setiap aspek projek ini dinilai secara menyeluruh dari sudut keselamatan awam dan kelestarian fiskal sebelum sebarang keputusan muktamad dibuat berhubung pelaksanaannya,” katanya.
Cadangan tersebut dilihat berpotensi menambah pilihan laluan kepada pengguna jalan raya di kawasan selatan Kuala Lumpur dan sekitarnya, khususnya dengan menghubungkan beberapa rangkaian lebuh raya sedia ada.
Dalam pada itu, kerajaan akan terus meneroka projek infrastruktur lain bagi melengkapkan rangkaian jalan raya serta menangani isu kesesakan lalu lintas di Lembah Klang. - DagangNews.com








