KUALA LUMPUR 4 Jun – Sapura Industrial Berhad menandatangani Surat Tawaran bersama Loongsen Plastics (M) Sdn Bhd bagi cadangan pelupusan sebidang tanah industri pegangan pajakan di Melaka bernilai RM10.48 juta.
Tanah tersebut terletak Ayer Keroh dengan keluasan kira-kira 2.163 hektar dan mempunyai tempoh pajakan 99 tahun yang akan tamat pada 22 Oktober 2073.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata, tanah berkenaan merupakan tanah kosong industri yang sebelum ini dirancang untuk pembangunan kilang, namun kini diklasifikasikan sebagai aset bukan teras.
“Harga jualan sebanyak RM10.48 juta ditetapkan berdasarkan persetujuan antara pembeli dan penjual secara sukarela selepas mengambil kira lokasi serta nilai pasaran semasa hartanah tersebut,” katanya dalam makluman tersebut.
Berdasarkan penilaian oleh Raine & Horne pada 20 April 2026 menggunakan kaedah perbandingan, nilai pasaran tanah tersebut turut dianggarkan sekitar RM10.48 juta yang menyokong harga jualan yang dipersetujui.
Nilai buku tanah tersebut direkodkan sebanyak RM2.21 juta setakat 31 Januari 2025 dan pelupusan ini dijangka menjana keuntungan kira-kira RM7.3 juta kepada syarikat apabila selesai.
Tanah tersebut tidak dicagarkan kepada mana-mana institusi kewangan sekali gus memudahkan proses pelupusan tanpa perlu sebarang penyelesaian pinjaman.
Ketika ini, tanah berkenaan turut disewakan kepada seorang penyewa industri dengan pendapatan sewaan sekitar RM2,940 sebulan, namun pendapatan ini akan terhenti selepas urusan jual beli dimuktamadkan.
Loongsen Plastics ialah syarikat yang terlibat dalam pembuatan beg plastik polietilena dan telah beroperasi di Melaka sejak tahun 1982.
Mengikut struktur bayaran, pembeli perlu membayar 10 peratus daripada harga jualan semasa menandatangani perjanjian jual beli, manakala baki 90 peratus perlu dijelaskan dalam tempoh 90 hari selepas semua syarat dipenuhi.
Sekiranya berlaku kelewatan pembayaran, pembeli akan diberikan lanjutan 30 hari tambahan dengan kadar faedah sebanyak 8 peratus setahun yang dikira secara harian.
Sapura Industrial berkata hasil jualan ini akan digunakan bagi perbelanjaan modal untuk pengembangan barisan pengeluaran, pelaburan projek baharu serta keperluan modal kerja dalam tempoh 24 bulan akan datang. - DagangNews.com








