Terengganu bakal dibanjiri 200,000 peminat RXZ dengan hadiah RM500,000 jadi rebutan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Terengganu bakal dibanjiri 200,000 peminat RXZ dengan hadiah RM500,000 jadi rebutan

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA TERENGGANU 2 Jun – Perhimpunan motosikal RXZ Members 8.0 yang bakal berlangsung di Terengganu pada 31 Julai dan 1 Ogos tahun ini sekali lagi menjadi pemangkin ekonomi negeri dengan jumlah kehadiran berpotensi mencecah 200,000 peserta dan pengunjung.

 

Angka itu jauh lebih tinggi berbanding kira-kira 150,000 kehadiran yang direkodkan pada tahun lalu, menjadikan penganjuran kali ini bakal mencatat rekod baharu dalam sejarah acara berkenaan.

 

Penganjur program Mohamad Faizal Mat Ali berkata, sambutan awal yang diterima menunjukkan peningkatan ketara dengan ramai peminat motosikal Yamaha RXZ dari seluruh negara sudah mula membuat perancangan untuk hadir ke Terengganu.

 

 

 

 

 

 

Menurutnya, petunjuk paling jelas dapat dilihat menerusi peningkatan permintaan terhadap penginapan termasuk hotel, resort, chalet dan homestay menjelang sebulan lagi acara berlangsung.

 

“Kalau tengok tempahan homestay dan komen-komen dalam media sosial, memang lain macam sedikit tahun ini. Sambutannya nampak lebih besar berbanding tahun lalu.

 

“Saya jangka kehadiran boleh mencecah antara 180,000 hingga 190,000 orang dan tidak mustahil mencapai 200,000,” katanya ketika dihubungi DagangNews.

 

T

 

Jika sasaran itu menjadi kenyataan, ribuan premis perniagaan di Terengganu bakal menerima manfaat secara langsung daripada perbelanjaan peserta sepanjang beberapa hari acara berlangsung.

 

Sektor penginapan dijangka menjadi penerima manfaat terbesar apabila hotel, resort, homestay dan rumah sewa harian berpotensi mencapai kadar penghunian hampir penuh terutama di Kuala Terengganu, Kuala Nerus, Marang dan kawasan sekitarnya.

 

Selain itu, restoran, kedai makan, gerai makanan, stesen minyak, kedai serbaneka dan pusat membeli-belah turut dijangka menikmati peningkatan pelanggan yang ketara sepanjang program berlangsung.

 

Peniaga kecil dan usahawan tempatan juga berpeluang meraih pendapatan lumayan menerusi jualan pakaian, aksesori motosikal, cenderamata, produk makanan dan minuman serta pelbagai barangan berkaitan komuniti RXZ.

 

Malah, pengusaha bengkel motosikal, kedai alat ganti dan perniagaan berkaitan automotif dijangka menerima tempias positif susulan peningkatan kehadiran pemilik motosikal dari seluruh negara.

 

T
Pelbagai barangan cenderahati kini mula dijual untuk peminat untuk memeriahkan lagi sambutan RXZ Members 8
0 di Kuala Terengganu 

 

Menurut Mohamad Faizal, format penganjuran tahun ini masih mengekalkan konsep utama yang menjadi identiti RXZ Members, namun beberapa penambahbaikan akan dilakukan bagi meningkatkan pengalaman pengunjung.

 

Beliau berkata, acara itu kini bukan lagi sekadar himpunan motosikal tetapi telah berkembang menjadi festival komuniti berskala besar yang berjaya menarik kehadiran pelancong domestik dan antarabangsa.

 

“Dulu mungkin orang tengok ia sebagai perjumpaan peminat RXZ sahaja, tetapi sekarang ia sudah jadi satu acara besar yang dinanti-nantikan setiap tahun,” katanya.

 

 

 

 

Tambah beliau, penganjuran kali ini turut menawarkan hadiah keseluruhan bernilai RM500,000 yang merupakan antara tawaran tertinggi pernah disediakan sepanjang sejarah acara berkenaan.

 

Dengan jangkaan kehadiran sehingga 200,000 orang serta limpahan perbelanjaan yang boleh mencecah puluhan juta ringgit kepada sektor pelancongan dan perniagaan tempatan, RXZ Members 2026 dilihat berpotensi mengukuhkan lagi statusnya sebagai antara acara komuniti permotoran terbesar di Asia Tenggara. - DagangNews.com