KUALA LUMPUR 26 April - Ancaman web yang menyasarkan perniagaan di Malaysia mencatatkan lonjakan sebanyak 197% tahun lepas, menurut syarikat keselamatan siber, Kaspersky.
Kaspersky dalam kenyataan berkata, semasa kemuncak pandemik pada 2020, ia menghalang 10,200,817 serangan web daripada menjangkiti perniagaan di Asia Tenggara.
"Serangan web meningkat pada 2022 pada 13,381,164, dan jumlah itu menurun sedikit pada 2021 kepada 9,180,344," katanya.
Menurut kenyataan itu, Singapura mencatatkan lonjakan tertinggi tahun ke tahun dari segi ancaman web yang menyasarkan perniagaan tahun lepas.
"Negara Asia Tenggara mencatatkan peningkatan lebih daripada tiga kali ganda kepada 329% selepas penyelesaian perniagaan Kaspersky menyekat sejumlah 889,093 serangan web, peningkatan yang mengejutkan daripada jumlah 2021 hanya 207,175 insiden.
"Peningkatan itu juga diperhatikan di seluruh negara Asia Tenggara lain dengan Malaysia sebanyak 197%, Thailand (63%), Indonesia (46%), dan Filipina (29%).
Kaspersky berkata, hanya Vietnam yang menyaksikan sedikit penurunan -12% selepas merekodkan hanya 2,485,168 insiden ancaman web tahun lepas berbanding 2,822,591 pada 2021.

Sementara itu, Pengurus Besar Asia Tenggara Kaspersky berkata, tahun lepas adalah tempoh pembukaan semula untuk kebanyakan perniagaan di Asia Tenggara dan malangnya, begitu juga untuk penjenayah siber.
Katanya, rantau Asia Tenggara yang lebih besar bagaimanapun, memerlukan lebih banyak bantuan dalam membina keupayaan mereka untuk melindungi syarikat mereka daripada serangan siber.

"Memandangkan 2023 akan menjadi tahun pertama sempadan dan pasaran dibuka semula sepenuhnya, kami menggalakkan syarikat di sini memperuntukkan belanjawan dan sumber untuk mengukuhkan pertahanan mereka terhadap serangan yang semakin meningkat terhadap rangkaian mereka," katanya.
Katanya, walaupun jurang bakat keselamatan IT masih menjadi isu, pakar penyumberan luar dan penyelesaian komprehensif menawarkan kecekapan yang boleh mengisi bahagian yang hilang ini. - DagangNews.com








