KUALA LUMPUR 10 Mei - Hasil sektor perkhidmatan mencatatkan peningkatan sebanyak 13.1% kepada RM560.3 bilion pada suku pertama, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, prestasi sektor perkhidmatan suku pertama 2023 dipacu segmen perdagangan borong dan runcit, makanan dan minuman dan penginapan, meningkat 13.1% kepada RM428.2 bilion.
"Ini diikuti segmen maklumat dan komunikasi, pengangkutan dan penyimpanan serta segmen profesional, hartanah dan pentadbiran dan khidmat sokongan masing-masing meningkat 12% dan 16.5% kepada RM77.8 bilion dan RM35.3 bilion," katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, Mohd Uzir berkata, bagi pendapatan e-dagang mencatatkan sebanyak RM307.2 bilion dengan pertumbuhan 10.4% tahun ke tahun pada suku pertama 2023.
Katanya, bagi perbandingan suku tahun ke suku tahun, pendapatan e-dagang meningkat sedikit iaitu 1.6%.
"Bagi analisis prestasi mengikut subsektor, perdagangan borong dan runcit mencatatkan peningkatan tertinggi RM46.4 bilion atau 12.8% tahun ke tahun. Ini diikuti subsektor pengangkutan dan penyimpanan dan makanan serta minuman meningkat 21.9% dan 11.6% kepada RM35.8 bilion dan RM17.3 bilion pada suku pertama 2023.
"Beralih ke analisis perbandingan suku tahun ke suku tahun, jumlah hasil pada suku pertama 2023 merekodkan kenaikan 1% atau RM5.5 bilion. Peningkatan ini turut didorong subsektor perdagangan borong dan runcit, pengangkutan dan penyimpanan, masing-masing meningkat 0.6% dan 3.6%," katanya.

Beliau berkata, jumlah pekerja dalam sektor ini berjumlah 4.4 juta orang, meningkat sebanyak 89,600 atau 21% tahun ke tahun.
"Kenaikan ini disumbangkan oleh subsektor perdagangan borong dan runcit dengan peningkatan sebanyak 49,000 orang atau 2.6%, diikuti subsektor pengangkutan dan penyimpanan, meningkat 18,600 orang atau 5.4%. Bagi suku tahun ke suku tahun, jumlah pekerja bertumbuh 0.3%, meningkat 13,100 orang," katanya.
Katanya, gaji dan upah yang dibayar juga mencatatkan peningkatan sebanyak RM1.4 bilion atau 4.6% tahun ke tahun.
Peningkatan itu disumbangkan subsektor perdagangan borong dan runcit yang tumbuh 3.4% kepada RM13.9 bilion, diikuti pengangkutan dan penyimpanan, meningkat 7% kepada RM2.8 bilion.
Sementara itu, bagi perbandingan suku tahun ke suku tahun, gaji dan upah naik 0.7% untuk mencatatkan RM31.3 bilion pada suku pertama 2023. - DagangNews.com








