KUALA LUMPUR 9 Mei - Kementerian Kesihatan (KKM) digesa mengadakan perbincangan dengan pelbagai pihak berhubung kelemahan yang terdapat dalam draf Rang Undang-Undang Akta Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022.
Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Azmi berkata, beliau mendapati draf pertama RUU tersebut mempunyai banyak kelemahan, antaranya soal sama ada undang-undang itu bercanggah dengan hak kebebasan di bawah Perlembagaan Persekutuan.
Katanya, kerajaan mengeluarkan RUU tersebut secara mengejut yang melarang penggunaan tembakau tanpa memberi peluang kepada orang ramai memberi pandangan.
"Antara kelemahannya dari segi peruntukan yang mungkin menjadi susah jika dilaksanakan ataupun ada ketidakadilan dalam undang-undang tersebut.
"Kita hanya meminta kerajaan melalui KKM berbincang, menunjukkan kelemahan, bukan kita nak bantah.
"Kalau kita boleh melarang penggunaan tembakau itu amat baik sekali, tetapi bagaimana ia boleh dilakukan," katanya kepada pemberita selepas sesi perbincangan panel mengenai Dasar Generasi Penamat (GEG) di sini hari ini.
Turut hadir, Pengarah Eksekutif Dewan Perniagaan dan Perindustrian Antarabangsa Malaysia (MICCI), Shaun Edward Cheah; Pengarah Urusan Arief & Iskandar, Mohd Faiz Iskandar Hamzah dan Ketua Korporat dan Komersial LAW Partnership, Raphael Tay.

Rang undang-undang berkenaan antaranya bakal melarang penjualan serta penggunaan sebarang bentuk bahan merokok termasuk rokok elektronik atau ‘vape’ kepada individu yang dilahirkan pada 1 Jan 2007 dan tahun seterusnya, bertujuan melahirkan Generasi Penamat bagi merokok.
Ia dibentangkan untuk bacaan kali pertama oleh bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin pada 27 Julai 2022, tetapi kemudiannya dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen untuk diperhalusi.
Dalam perkembangan sama, Tun Zaki turut menyokong produk vape dibenarkan secara kawalan, yang mana dapat mengurangkan ketagihan merokok.
Katanya, beliau mengambil contoh negara seperti New Zealand dan Denmark, yang mengeluarkan cecair nikotin untuk produk vape yang lebih rendah daripada rokok.
"Apabila vape ini dihisap dengan nikotin rendah yang tidak menjejaskan kesihatan, produk vape mungkin boleh dibebaskan, tetapi mesti dikawal," katanya.
Berkenaan alat vape, Raphael Tay berkata, rujukan mengenai alat vape di dalam RUU juga tidak jelas, dan tidak sepatutnya dibawah KKM tetapi sebaik-baiknya SIRIM bagi memastikan keselamatan alat elektronik tersebut. - DagangNews.com








