Rezal dilantik Ketua Pegawai Eksekutif baharu Awantec bermula 1 Februari 2022 | DagangNews Skip to main content

Rezal dilantik Ketua Pegawai Eksekutif baharu Awantec bermula 1 Februari 2022

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 17 Jan -  AwanBiru Technology Berhad (Awantec) melantik Rezal Rahman selaku Ketua Pegawai Eksekutif baharu mereka berkuatkuasa 1 Februari 2022 ini.

 

Beliau yang merupakan graduan Stanford University and The Wharton School, University of Pennsylvania berpengalaman luas bekerja di Lembah Silikon dan pernah menyandang jawatan Pengarah Pelaburan Sektor Teknologi di Khazanah Nasional sebelum menyertai Pinewood Iskandar Malaysia sebagai Ketua Pegawai Eksekutif. 

 

Rezal juga pernah menyandang jawatan Ketua Pegawai Operasi Teknologi dan Kerjasama Korporat di Sapura Secured Technologies dan bertanggungjawab mengendalikan projek bernilai jutaan ringgit di bawah pelbagai kementerian di Malaysia.

 

Pengerusi Awantec, Syed Naqiz Shahabuddin berkata,  Rezal adalah pembahan baharu kepada barisan kepemimpinan baharu syarikat itu selepas dilantik menggantikan Pengasas Awantec, Dr. Abu Hasan Ismail. 

 

"Awantec tidak pernah berhenti mencari bakat yang bagus kerana ia adalah sebahagian daripada peniagaan dan amalan syarikat.

 

"Kami mengenalpasti kemampuan Rezal selepas melakukan penilaian terhadap 178 calon berpotensi dan dia memiliki pengalaman luas dalam bidang korporat serta pelaburan di Amerika Syarikat (AS), Singapura dan Malaysia. 

 

"Dia membawa bersamanya pengalaman serta pengetahuan dalam pembangunan teknologi dan trend pasaran," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Dalam perkembangan sama, Abu Hasan akan dilantik sebagai Mentor Pengasas di Awantec dan kekal sebagai pemegang saham terbesar dalam kumpulan syarikat itu selain ahli lembaga bukan eksekutif.

 

Syed Naqiz berkata, sebagai Mentor Pengasas di dalam kumpulan, beliau akan memberi nasihat secara kepada ketua pegawai eksekutif terhadap strategi dan sokongan pasukan dalam memastikan kelancaran perubahan terutama dalam rantaian perniagaan mereka. 

 

Abu Hasan juga menerima jawatan Felo Penyelidik Kanan La Trobe Business School of La Trobe University dan akan berada di Melbourne selama 24 bulan. 

 

Sementara itu, Rezal berkata, beliau melihat pelbagai potensi kemajuan di Awantec dan gembira dipilih menjadi sebahagian daripada pengurusan kumpulan itu.

 

Beliau berkata, walaupun tanggungjawab yang bakal digalasnya sangat besar namun dia tidak pernah takut untuk mencari peluang baharu dan menggunakan pengalamannya selama bekerja bersama syarikat tempatan dan antarabangsa.

 

"Saya mempunyai sasaran tinggi dan akan berkongsi mengenai perancangan saya tetapi berikan ruang kepada kami untuk melengkapkan tugasan dalam melengkapkan keperluan pasaran untuk teknologi dan perkhidmatam pelanggan serta perkembangan perniagaan," katanya. - DagangNews.com