KUALA LUMPUR 11 Mei - Reneuco Berhad (dahulunya dikenali sebagai KPower Berhad) telah memeterai memorandum perjanjian (MoA) untuk bekerjasama dan menceburi perniagaan tenaga hijau di Perak.
MoA tersebut dimeterai melalui anak syarikatnya, Reneuco RE Sdn Bhd (RenRE) dengan Aero Line Facilities & Engineering Services Sdn Bhd (Alfes) dan anak syarikat tidak langsung Perbadanan Kemajuan Negeri Perak, Pengurusan Murni Sdn Bhd.
“Di bawah skop MoA, RenRE dan/atau Alfes akan melaksanakan pembekalan Pencahayaan LED Solar Pintar kepada Pengurusan Murni dengan objektif utama untuk meneruskan penggunaan teknologi tenaga hijau di Perak serta negeri-negeri lain amnya,” katanya kumpulan itu dalam satu kenyataan hari ini.
Sehingga kini, kata kumpulan itu, pemasangan lampu jalan Smart Solar LED di seluruh negeri telah dimulakan pada Februari 2023 dengan Kompleks Pusat Techno-Trade Perak menjadi perintis bagi inisiatif tersebut.
Pengerusi Eksekutif Reneuco, Datuk Mustakim Mat Nun memuji langkah yang telah diambil oleh Negeri Perak untuk memajukan agenda Perak Bumi Lestari.

“Meneruskan tahun yang kukuh, kami berbesar hati menjadi sebahagian besar daripada inisiatif yang terpuji ini dan memberikan sokongan serta pengetahuan kami sebagai pakar subjek dalam tenaga boleh diperbaharui dan utiliti.
"Projek pemasangan perintis di Kompleks Pusat Techno-Trade Perak telah terbukti berjaya dan merupakan bukti kukuh kepada kualiti cemerlang teknologi tenaga boleh diperbaharui dan produk yang dibekalkan melalui kerjasama ini," ujar beliau.
Mustakim berkata kumpulan itu berharap dapat mengambil bahagian dalam lebih banyak inisiatif seperti ini memandangkan mereka dalam kedudukan baik untuk membantu agensi kerajaan meneruskan agenda tenaga hijau, sama ada melalui perundingan pengurusan projek atau pembekalan teknologi dan produk tenaga hijau.
Selanjutnya untuk mempromosikan penggunaan teknologi tenaga hijau di seluruh negeri, kerjasama tersebut juga berhasrat untuk meneroka kerjasama sinergi lain dalam perniagaan dan teknologi tenaga hijau.
Pada masa yang sama, mereka juga akan melaksanakan projek penyelidikan bersama dari semasa ke semasa yang akhirnya akan memajukan agenda Perak Bumi Lestari dan pada masa yang sama memberi manfaat kepada masyarakat secara amnya dalam jangka masa panjang. -DagangNews.com








