Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
KUALA LUMPUR 7 Jan - AmInvestment Bank Research neutral terhadap cadangan terbitan bonus sehingga 564 juta saham biasa baharu yang akan dilaksanakan Pecca Group.
Menurutnya, langkah tersebut mungkin dapat membantu meningkatkan kecairan saham tetapi tiada perubahan kepada asas syarikat.
"Pada 25-23x nisbah harga kepada pendapatan (PE) bagi tahun kewangan 2022 (FY22)-FY23 untuk pendapatan sesaham (EPS), harga saham Pecca diniagakan pada premium yang tidak wajar berbanding pemain lain yang sama.
"Tambahan pula, prospek pendapatan syarikat kekal tidak memberangsangkan dan terhad disebabkan pasaran automotif domestik yang tepu," katanya dalam nota kajian hari ini.
Susulan itu, firma tersebut mengekalkan pandangan 'underweight' terhadap Pecca dengan nilai wajar pada RM1.99 sesaham.
Baca : Pecca cadang laksanakan 3-untuk-1 terbitan bonus bagi hargai pemegang sahamnya
Syarikat yang terlibat dalam pembuatan dan reka bentuk upholsteri kulit kenderaan ini semalam mengumumkan bahawa ia bercadang melaksanakan cadangan terbitan bonus sehingga 564 juta saham biasa baharu berdasarkan 3 Saham Bonus untuk setiap 1 saham Pecca sedia ada yang dipegang oleh pemegang sahamnya.
Selain memberi ganjaran kepada pemegang sahamnya atas kesetiaan dan sokongan berterusan mereka, langkah itu akan memberi pemegang saham sedia ada penyertaan ekuiti yang lebih besar sambil mengekalkan peratusan pegangan saham ekuiti.
Menurut Pecca, rizab dan jumlah aset bersihnya akan dikekalkan kerana cadangan terbitan bonus akan dilaksanakan melalui penggunaan rangka kerja terbitan bonus yang dipertingkatkan tanpa menggunakan permodalan rizab syarikat.
Setakat 10.29 pagi ini, saham Pecca menokok 3 sen atau 0.88% kepada RM3.43 dengan 638,400 saham diniagakan. - DagangNews.com








