PMKS dalam 'survival mode' berhati-hati naikkan gaji - MEF | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

PMKS dalam 'survival mode' berhati-hati naikkan gaji - MEF

SHAH ALAM 8 Mei - Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF) berpandangan bahawa syarikat perniagaan terutama perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) akan lebih berhati-hati dalam meningkatkan perbelanjaan gaji kerana ia mempunyai kesan jangka masa panjang.

 

Dalam laporan Sinar Harian hari ini, Presiden MEF, Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman berkata kebanyakan syarikat terutamanya PMKS berada dalam keadaan ‘survival mode’ yang akan berhemah berbelanja termasuklah pemberian kenaikan gaji.

 

 

Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman
Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman

 

 

“Kebanyakan syarikat memberi peluang pekerja untuk meningkatkan pendapatan melalui amalan di tempat kerja yang mana ia lebih fleksibel seperti formula ‘menang-menang’ kepada kedua-dua pihak (pekerja dan majikan).

 

“Kerajaan sepatutnya membantu PMKS terutama perusahaan mikro supaya dapat bangkit untuk mengekalkan perniagaan dan bukannya memperkenalkan dasar yang akan menambah beban kepada majikan,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

 

Berdasarkan Laporan Perancangan Bajet Gaji 2022, syarikat penasihat, broker dan penyelesaian global, WTW memaklumkan organisasi di Malaysia diunjur meningkatkan belanjawan mereka untuk gaji pekerja sebanyak 5% tahun ini akibat keadaan pasaran buruh yang kompetitif dan tekanan inflasi, didorong oleh kenaikan kos sara hidup.

 

Syed Hussain berkata, kerajaan perlu menyokong usaha PMKS untuk berinovasi, menambah baik proses pendigitalan dan berkembang ke pasaran baharu supaya dapat meningkatkan sumbangan pembangunan terhadap pertumbuhan ekonomi negara.

 

Tambah beliau lagi, insentif cukai juga perlu dipertingkat kepada PMKS yang menggunakan teknologi canggih dalam memastikan daya saing dan peningkatan produktiviti. -DagangNews.com