Ninja Van Malaysia catat lebih 17,000 kes penipuan bungkusan pada 2024, hampir separuh di Lembah Klang | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Ninja Van Malaysia catat lebih 17,000 kes penipuan bungkusan pada 2024, hampir separuh di Lembah Klang

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 13 Jun — Ninja Van Malaysia mendedahkan ia merekodkan lebih 17,000 kes penipuan pada 2024 yang melibatkan urus niaga penghantaran bungkusan di seluruh negara, dengan 40 peratus daripadanya di kawasan Lembah Klang sahaja.


Syarikat logistik tempatan yang ditubuhkan sejak 2015 itu berkata, trend perkembangan jenayah kurier tersebut dijangka meningkat pada 2025, kerana setakat suku pertama tahun ini, ia sudah pun menerima lebih 3,500 laporan berkaitan kes tersebut.


Angka tersebut adalah melebihi jumlah yang direkodkan dalam mana-mana suku tahun sebelumnya dengan kebanyakan kes itu melibatkan penipuan Bayar Semasa Terima (COD), penipuan bungkusan palsu, dan penipuan melalui khidmat pesanan ringkas (SMS).

 

 

 

 


"Secara keseluruhan sejumlah 35,368 kes penipuan dalam pelbagai bentuk direkodkan semua syarikat di negara ini pada 2024, dengan kerugian kewangan mencecah RM1.6 bilion meliputi penipuan pembeli dalam talian," kata Ninja Van Malaysia dalam kenyataan.


Semalam, operator tersebut buat julung kali menganjurkan forum ScamMinar sebagai usaha dalam menangani peningkatan secara mendadak kes penipuan bungkusan di seluruh negara yang semakin membimbangkan masyarakat, terutama di Lembah Klang.


Sesi itu melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) diwakili Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (Risikan/Operasi) Selangor, Superitendan Yap Huat Tian serta Pengarah Urusan Graymatter Forensic Advisory Sdn Bhd, Raymon Ram.


Turut diadakan ialah pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Ninja Van Malaysia dan PDRM, yang menzahirkan komitmen bersama memerangi penipuan berkaitan bungkusan, serta meningkatkan kesedaran awam, demi melindungi pengguna di Malaysia.
 

ninja van
PEMETERAIAN MoU yang ditandatangani antara Lin Zheng (kiri) dan Yap Huat Tian (kanan) pada program ScamMinar anjuran Ninja Van Malaysia.


Acara itu turut menampilkan sesi panel oleh pakar, merangkumi pendedahan bentuk tanda amaran penipuan pembelian dalam talian, taktik penipuan yang semakin berkembang, tip perlindungan data, dan cara mangsa melaporkan aktiviti mencurigakan.

 

Menjelaskan lanjut, Ninja Van Malaysia sendiri mengakui menjadi sasaran penipuan ini, namun ia bertegas terus mendidik orang awam dan meningkatkan kesedaran melalui pelbagai inisiatif, termasuk makluman dan kandungan pendidikan menerusi media sosial.


Ketua Pegawai Eksekutifnya, Lin Zheng bagaimanapun berkata, tanggungjawab mereka melebihi sekadar perniagaan dan sebagai pemain utama dalam industri logistik, ia ada kewajipan untuk mendidik masyarakat mengenai peningkatan ancaman penipuan.


"ScamMinar ini sebahagian komitmen berterusan kami bukan sahaja menghantar bungkusan, malah menyampaikan kepercayaan dan keselamatan. Penipu semakin bijak, tetapi melalui kesedaran, pendidikan dan kerjasama, kita boleh mendahului mereka,” katanya.


Sementara itu, Huat Tian berkata, pendidikan awam dan kerjasama antara pelbagai agensi adalah penting dalam menangani gelombang penipuan yang semakin meningkat di negara ini selain memuji usaha proaktif Ninja Van Malaysia dalam program tersebut.


"Inisiatif seperti penganjuran ScamMinar menyediakan platform penting untuk menyampaikan maklumat kepada komuniti yang diakui sebagai mudah terdedah dan turut memperkasakan masyarakat dengan ilmu untuk melindungi diri sendiri,” kata beliau.


Dalam pada itu, Raymon berkata, penipu mengeksploitasi kelemahan tadbir urus, kelompongan digital, dan kekurangan kesedaran pengguna, namun beliau percaya usaha memerangi perlu melangkaui penguatkuasaan, integriti, ketelusan dan kepekaan masyarakat.


“Kami berbangga menyokong ScamMinar sebagai satu inisiatif tepat pada masa menonjolkan kerjasama antara penguatkuasa undang-undang, sektor swasta dan masyarakat sivil. Kita mampu membendung penipuan terus berleluasa,” tambah beliau. - DagangNews.com