Niche Capital dapat hak eksklusif kendali lombong emas di Kelantan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Niche Capital dapat hak eksklusif kendali lombong emas di Kelantan

Gambar/Niche Capital Emas Holdings Bhd
Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 11 Jun - Niche Capital Emas Holdings Bhd memperoleh hak eksklusif untuk membangunkan dan mengendalikan kawasan perlombongan emas KK Hill di Jeli, Kelantan.

 

Niche Capital berkata, hak eksklusif itu diperoleh melalui perjanjian usaha sama dengan syarikat perlombongan Enrich Mining Sdn Bhd.

 

"Perjanjian ini dibuat selepas kedua-dua pihak menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) pada Ogos 2024 yang memberi Niche Capital hak penerokaan eksklusif bagi Projek Sejana. 

 

 

 

 

 

"Projek ini melibatkan kawasan seluas 3,255 hektar di lima lokasi di Kelantan," katanya dalam makluman di Bursa Malaysia.

 

Kawasan perlombongan KK Hill, yang merupakan sebahagian daripada Projek Sejana, meliputi kawasan seluas 97.12 hektar.

 

Niche Capital memaklumkan, firma geologi RSC Consulting Ltd menganggarkan terdapat 7.64 juta tan batuan bijih emas di kawasan itu, dengan purata 0.69 gram emas bagi setiap tan, bersamaan dengan 169,300 auns emas mentah.

 

Niche Capital menjangkakan, sumber emas berkenaan akan membantu meningkatkan perniagaan perlombongannya. 

 

Namun, jumlah pelaburan untuk projek terbaharu tersebut masih belum ditetapkan.

 

Mengikut perjanjian, Niche Capital akan membayar 8% daripada hasil emas yang dikeluarkan kepada Enrich Mining dalam masa 30 hari selepas bayaran royalti dibuat kepada kerajaan negeri Kelantan, untuk tempoh lima tahun.

 

Selain itu, syarikat juga perlu membayar royalti tambahan kepada Pejabat Tanah dan Galian Kelantan sebanyak 10%, serta 2% (jika perlombongan batuan keras) atau 5% (jika perlombongan mendapan) kepada pemilik dan benefisiari tanah, iaitu Perbadanan Pembangunan Ladang Rakyat Negeri Kelantan.

 

Enrich Mining dimiliki oleh Tekad Mulia Sdn Bhd (90%) dan Wan Kamaruddin Biji Sura @ Wan Abdullah (10%). 

 

Syarikat itu turut disokong oleh bekas pengarah Sumatec Resources Bhd, Wan Kamaruddin dan pengasas Sumatec serta Pengarah Eksekutif Aldrich Resources Bhd, Chan Yok Peng.

 

Enrich Mining menyertai Projek Sejana melalui perjanjian perkongsian hasil perlombongan yang ditandatangani dengan Bonanza Aycel Mining (Kelantan) Sdn Bhd pada Mei 2020. - DagangNews.com