KUALA LUMPUR 4 April - Pharmaniaga Bhd (Pharmaniaga) memberi jaminan kelewatan semasa dalam pembayaran kepada vendor dan pembekalnya dapat diselesaikan menjelang akhir bulan ini.
Pharmaniaga memaklumkan, pihaknya telah mengadakan bagi menangani kebimbangan yang dibangkitkan oleh Persatuan Farmaseutikal Malaysia termasuk mengenai status Nota Amalan 17 (PN17) dan isu kelewatan kepada pembekal.
Menurutnya, kebanyakan kewajipannya kepada pembekalnya telah dijelaskan dan ia akan terus memenuhi semua komitmen untuk memastikan akses pesakit kepada ubat kekal tidak terganggu dan terus utuh.
“Aktiviti perniagaan teras dalam penyelidikan dan pembangunan, pembuatan, logistik dan pengedaran, jualan dan pemasaran serta operasi kami di Indonesia berjalan seperti biasa dan tidak terjejas oleh keadaan semasa,” katanya dalam satu kenyataan.
Pharmaniaga berkata, pelan tindakan untuk bergerak ke hadapan telah dipersetujui oleh kedua-dua pihak, termasuk penglibatan yang lebih proaktif dalam menangani isu operasi berkaitan bekalan ubat-ubatan dan bukan ubat kepada kemudahan penjagaan kesihatan kerajaan dan swasta.
"Kedua-dua pihak juga akan berusaha lebih erat ke arah mewujudkan ekosistem yang lebih konsisten dan boleh menyumbang kepada usaha menggalakkan operasi yang stabil," katanya. - DagangNews.com








