KUALA LUMPUR 22 Julai - Peraduan Keselamatan Jalan Raya ‘With Us’ anjuran Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) dan Malaysian Takaful Association (MTA) mendapat sambutan menggalakkan apabila menarik lebih daripada 1,000 penyertaan.
Pertandingan yang dianjurkan sempena Kempen Keselamatan Jalan Raya ‘Us’ dinilai berdasarkan kriteria yang telah ditetapkan, iaitu kreativiti, impak, mesej dan penglibatan dengan penonton sasaran.
Kempen itu berjaya meningkatkan kesedaran dalam kalangan pengguna jalan raya dan mendidik masyarakat tentang kadar kemalangan yang tinggi, dan punca utamanya serta kesan kepada masyarakat, ekonomi dan negara secara keseluruhannya.
Pengerusi PIAM, Antony Lee Fook Weng berkata, beliau gembira kempen itu mendapat sambutan baik terutamanya dalam kalangan belia.
"Saya berharap agar kempen ini dapat memupuk kesedaran tinggi tentang keselamatan jalan raya dalam kalangan rakyat Malaysia dan menyumbang kepada pengurangan kadar kemalangan jalan raya.
"Kami tidak akan berhenti di sini. Adalah menjadi hasrat kami untuk melaksanakan kempen jangka panjang kerana pendidikan adalah proses berterusan dan sepanjang hayat," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, PIAM dan MTA telah mengumumkan tiga pemenang utama daripada senarai 15 pemenang dengan penyertaan terbanyak.

Tempat pertama dimenangi Mohd Anuar Ruddin Zakaria, 36, dari Selangor, manakala tempat kedua Lim Sooi Ping, 32, dari Selangor dan tempat ketiga dimenangi Muhamad Afiq Mohd Nasri, 31, dari Negeri Sembilan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MTA, Mohd Radzuan Mohamed pula berkata, setiap individu wajib memikul tanggungjawab untuk menjadikan jalan raya lebih selamat dengan mengamalkan tabiat pemanduan selamat, berwaspada dan bertimbang rasa.

"Kempen kesedaran keselamatan jalan raya tidak akan memberi kesan sekiranya pengguna jalan raya masih terus bersikap melulu, tidak berdisiplin dan tidak beretika semasa berada di jalan raya," katanya.
Sepanjang tempoh kempen, PIAM dan MTA telah menganjurkan pelbagai aktiviti termasuk Peraduan Keselamatan Jalan Raya ‘With Us’.
Melalui peraduan ini, peserta dikehendaki menggunakan kreativiti mereka untuk menghasilkan kandungan media sosial yang unik mengenai keselamatan jalan raya dan menyiarkan penyertaan mereka di platform media sosial pilihan masing-masing dengan hashtag yang diperlukan. - DagangNews.com








