Pengambilan khas secara one-off 18,702 guru sedang diselesaikan | DagangNews Skip to main content

Pengambilan khas secara one-off 18,702 guru sedang diselesaikan

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN


KUALA LUMPUR 17 Jan - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan menyelesaikan sepenuhnya pengambilan khas secara 'one-off' seramai 18,702 pegawai perkhidmatan pendidikan bagi menyediakan guru berkualiti yang mencukupi untuk memenuhi kekosongan jawatan sedia ada. 

 

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) telah selesai menjalankan temuduga bagi pengambilan khas ini dan sebahagian daripada calon berjaya menerima tawaran lantikan.

 

Jelasnya, KPM amat memerlukan bantuan segera SPP untuk menyelesaikan baki pengambilan guru tersebut bagi membolehkan penempatan guru dibuat sebelum sesi persekolahan akan datang bermula. 

 

"Selain itu, kami berbincang mengenai guru lantikan secara 'Contract of Service' dan guru interim. Perbincangan juga turut melibatkan guru interim bagi mata pelajaran Bahasa Inggeris lantikan tahun 2019 yang akan tamat kontrak pada bulan April ini.

 

"Saya mohon supaya SPP dapat menyegerakan segala urusan temuduga kumpulan calon guru ini. Begitu juga dengan urusan lantikan bagi guru interim mata pelajaran Pendidikan Islam serta guru interim Jabatan Pendidikan Negeri Sabah dan Sarawak yang mana kontrak mereka juga akan tamat tahun ini," katanya menerusi Facebook rasmi beliau hari ini.

 

Terdahulu, Dr. Radzi menerima kunjungan daripada Pengerusi SSP yang baharu, Datuk Seri Dr. Mazlan Yusoff dan mengucapkan tahniah atas pelantikan itu. 

 

Dr. Radzi berkata, dalam pertemuan tersebut, mereka membincangkan beberapa perkara penting berkaitan usaha KPM memperkasa sektor pendidikan, khususnya tentang pengambilan guru baharu bagi institusi di bawah KPM.

 

"Perbincangan turut menyentuh tentang keluhan graduan lepasan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP) Pendidikan Awal Kanak-Kanak bagi pengambilan khas ini. Berdasarkan maklum balas SPP, terdapat lebihan graduan pendidikan bagi mata pelajaran tertentu, termasuk graduan pendidikan awal kanak-kanak.  Perkara ini akan diteliti oleh KPM dan SPP.

 

Beliau berkata, selain guru, mereka turut membincangkan tentang pengambilan Anggota Kumpulan Pelaksana (AKP) yang perlu disegerakan bagi membantu melancarkan pengoperasian sekolah. 

 

"Alhamdulillah, pihak SPP akan memberi komitmen sepenuhnya untuk mempercepatkan urusan pengambilan guru dan AKP bagi membolehkan pengoperasian sekolah, khususnya sesi pengajaran dan pembelajaran dapat berlangsung dengan lancar demi pendidikan anak-anak generasi pewaris negara. KPM komited melakukan yang terbaik," katanya. - DagangNews.com