Pendapatan FY23 Ta Ann dijangka terjejas akibat harga minyak sawit mentah susut – Affin Hwang | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pendapatan FY23 Ta Ann dijangka terjejas akibat harga minyak sawit mentah susut – Affin Hwang

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 4 April - Bahagian perladangan kelapa sawit Ta Ann Holdings Bhd kekal sebagai pemacu pendapatan utama, namun bagi tahun kewangan 2023 (FY23), ia dijangka terjejas oleh harga minyak sawit mentah (MSM) yang menjadi lebih lemah memandangkan terdapat pembetulan harga.

 

Menurut firma penyelidikan itu, pengeluaran MSM dijangka bertambah baik tahun ini tetapi harga mungkin lebih rendah tahun ke tahun (YoY).

 

“Kami meramalkan keuntungan bersih teras Ta Ann FY23 menurun 61.5% YoY kepada RM133.5 juta, terutamanya disebabkan jangkaan harga MSM lebih rendah pada tahun 2023, berpotensi berpurata sekitar RM3,200 setiap tan metrik,” katanya dalam nota hari ini.

 

Harga minyak sayuran terus tidak menentu pada suku pertama tahun 2023 dengan harga kebanyakan minyak menurun menjelang pertengahan hingga akhir Mac 2023 akibat peningkatan tekanan bekalan dari Eropah dan Laut Hitam, stok besar dan penghancuran biji bunga matahari dan biji sesawi serta beberapa penurunan harga tenaga.

 

Pengeluaran BTS kumpulan itu sendiri berpotensi meningkat tahun ini sebanyak 12% YoY kepada 790,000 tan metrik daripada unjuran sebelumnya sebanyak 740,000 tan metrik, disokong oleh masalah kekurangan tenaga buruh yang kian pulih, peningkatan dalam hektar matang dan lebih banyak jentera ditempatkan di ladang.

 

“Sementara itu, kami menganggarkan pengeluaran MSM kumpulan berada pada 300,000 tan metrik dalam 2023, meningkat sebanyak 7% YoY daripada ramalan sebelumnya sebanyak 290,000, di mana sebahagiannya disebabkan oleh peningkatan kadar perahan minyak (OER) ditambah dengan BTS pihak ketiga lebih tinggi untuk diproses bagi tahun tersebut,” jelasnya.

 

Affin Hwang Investment Bank (Affin Hwang) mengubah ramalan pendapatan sesaham (EPS) kumpulan itu bagi FY23 meningkat 2%, manakala pada tahun kewangan 2024 dan 2025 (FY24/25) diturunkan kepada 5.7% dan 6.5% masing-masing.

 

Ramalan itu dibuat susulan kemas kini anggaran firma itu terhadap pengeluaran buah tandan segar (BTS) dan MSM serta andaian harga log eksport yang tinggi, dan peningkatan kos pengeluaran MSM disebabkan penekanan kepada penggunaan baja.

 

Di samping itu, pembukaan semula ekonomi telah membolehkan kerja pembinaan disambung semula dan telah membantu meningkatkan permintaan produk kayu namun firma itu berkata hasilnya adalah lebih kecil berbanding perladangan iaitu sekitar 17% daripada sumbangan pendapatan teras kumpulan.

 

Bagaimanapun, firma itu percaya pembukaan semula ekonomi China boleh mengekalkan permintaan produk kayu yang sihat bagi tahun ini memandangkan kumpulan itu mempunyai permintaan dari India dan Jepun, pelanggan terbesarnya untuk produk balak dan papan lapis.  

 

Affin Hwang mengekalkan saranan ‘jual’ dengan harga sasaran (TP) dikurangkan kepada RM2.75 sesaham daripada RM3.00. -DagangNews.com.