Pelabur runcit jual RM4.19 juta ekuti, kali pertama selepas 9 minggu | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pelabur runcit jual RM4.19 juta ekuti, kali pertama selepas 9 minggu

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 27 Dis - Aliran keluar asing semakin berkurangan bagi minggu berakhir 24 Disember 2021 meskipun terus mencatat aliran keluar bagi minggu kelima berturut-turut. 

 

MIDF Research dalam laporan aliran dana mingguan menunjukkan pelabur asing hanya menjual RM38.16 juta pada minggu lalu berbanding RM348.36 juta pada minggu sebelumnya. 

 

Katanya, apabila pasaran dibuka pada Isnin lalu, pelabur asing menjual sebanyak RM48.75 juta ekuiti di Bursa Malaysia. 

 

"Pelabur institusi tempatan dan runcit pula masing-masing membeli ekuiti sebanyak RM17.58 juta dan RM31.17 juta," katanya dalam laporan itu hari ini. 

 

Pelabur asing merupakan penjual bersih hampir setiap hari minggu lalu kecuali Rabu dan Khamis dengan aliran keluar tertinggi direkodkan pada Selasa sebanyak RM124.28 juta. 

 

Sebaliknya, pelabur runcit membeli bersih ekuiti setiap hari kecuali Rabu dan Selasa dengan aliran tertinggi pada Selasa sebanyak RM48.72 juta. 

 

Katanya, ini tidak mencukupi untuk mendorong pasaran ke kedudukan belian bersih walaupun belian bersih pada hari Isnin, Selasa dan Jumaat.

 

"Sepanjang minggu lalu, pelabur runcit menjual bersih ekuiti sebanyak RM4.19 juta dan merupakan penjualan bagi minggu pertama selepas 9 minggu berturut-turut mencatat aliran masuk," katanya. 

 

Sementara itu, pelabur institusi tempatan merekodkan pembelian bersih kumulatif minggu lalu sebanyak RM42.36 juta. 

 

Mereka membeli ekuiti hampir setiap hari kecuali Rabu dan Khamis dengan aliran tertinggi pada Selasa sebanyak RM75.57 juta.

 

MIDF Research berkata, sejak awal tahun ini, pelabur runcit merupakan satu-satunya pembeli ekuiti tempatan berjumlah RM12.44 bilion. 

 

"Pelabur asing dan pelabur institusi tempatan pula masing-masing menjadi penjual bersih ekuiti berjumlah RM3.17 bilion dan RM9.27 bilion," jelasnya. 

 

Pada minggu lalu, indeks utama FBM KLCI menokok 0.96% untuk berakhir pada 1,516.45 mata manakala ringgit mengukuh kira-kira 0.57% berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) untuk ditutup pada RM4.1958 pada Jumaat.

 

Harga minyak mentah Brent pula meningkat 3.56% minggu lalu sebelum mengakhiri dagangan Jumaat pada AS$76.14 setong.

 

"Pasaran ekuiti di seluruh dunia mengalami prestasi bercampur-campur minggu lalu tetapi majoriti menyaksikan keuntungan mungkin disebabkan kebimbangan yang semakin berkurangan daripada varian Omicron," jelas firma berkenaan. - DagangNews.com