Dalam era tenaga hijau, Malaysia semakin menyedari kepentingan untuk mengurangkan pergantungan kepada bahan api fosil dan mempelbagaikan sumber tenaga.
Namun, antara peluang yang masih kurang diterokai ialah tenaga geoterma — tenaga yang diperoleh daripada sumber haba bumi, khususnya daripada kolam air panas semula jadi.
Secara global, negara ASEAN seperti Filipina dan Indonesia telah memiliki kapasiti tenaga geoterma melebihi 4,370 MW (megawatt), iaitu sekitar 27% daripada kapasiti tenaga geoterma dunia.
Di Malaysia, terdapat lebih 100 tapak kolam air panas yang berpotensi dan belum diterokai sepenuhnya, terutamanya di Kampung Ulu Slim dan Sungai Klah (Perak), Lojing (Kelantan) serta Hulu Langat di Selangor.
Kawasan Tawau–Semporna di Sabah juga mempunyai sumber geoterma yang berasal daripada gunung berapi yang terbentuk sekitar 12,000 tahun lalu dan wajar diberi perhatian.
Suhu permukaan di tapak ini boleh mencecah lebih 100°C, sekali gus menawarkan peluang kepada pembangunan loji kuasa atau penggunaan langsung dalam sektor pertanian, akuakultur dan pelancongan.
Inilah antara agenda penting yang dibincangkan semasa Persidangan Antarabangsa Geoterma Malaysia (MIGC) 2024, merangkumi isu hala tuju bidang geoterma negara, penyelidikan serta pembangunan tapak-tapak berpotensi agar sumber air panas dapat digunakan sebagai projek penyelidikan mesra industri.
Usaha ini bertujuan merealisasikan pelaksanaan pembangunan tenaga bersih berasaskan geoterma pertama di Malaysia.
Geothermal Resources
Geothermal Resources Sdn. Bhd. (GRSB) ditubuhkan pada Oktober 2022 melalui inisiatif program UKM PEMULA di bawah Pusat Inovasi dan Pemindahan Teknologi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Matlamatnya jelas — menjadi pusat sehenti penyelesaian geoterma Malaysia yang merangkumi kajian kebolehlaksanaan, pemetaan geologi serta pembangunan loji tenaga geoterma.
Berpangkalan di UKM, GRSB menjalankan operasi di Stesen Penyelidikan Geoterma Kampung Ulu Slim, Perak yang berfungsi sebagai pusat makmal geoterma bagi menjalankan kajian 3G (Geologi, Geokimia, Geofizik) untuk mengenal pasti potensi sumber di kawasan sekitar.
Pengerusi merangkap Ketua Pegawai Eksekutif GRSB, Prof. Madya Ts. Dr. Mohd Hariri Arifin, mengetuai pasukan saintifik yang turut dilantik oleh PETRONAS dalam melaksanakan kajian di Ulu Slim. Beliau juga merupakan Presiden Pertubuhan Geoterma Malaysia (MGA) yang pertama, secara rasmi ditubuhkan pada 2025 dengan misi utama mempromosikan pembangunan tenaga geoterma di Malaysia.
Dr. Mohd Hariri mempunyai reputasi kukuh dalam penyelidikan kolam air panas dan telah menerbitkan serta membentangkan hasil kerja beliau di pelbagai peringkat — tempatan dan antarabangsa. Pada 2024, beliau dan pasukan geoterma Malaysia telah ke Iceland untuk lawatan kerja serta pembentangan di Persidangan Geoterma Antarabangsa Iceland.
Pada Julai 2025, GRSB menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama Keystone Renewable Energy, sebuah syarikat berpangkalan di Singapura, bagi memajukan kajian dan pembangunan tenaga geoterma di Malaysia. Inisiatif ini selari dengan National Energy Transition Roadmap (NETR) dan Malaysia Renewable Energy Roadmap (MyRER) yang menekankan pengurangan karbon serta penggunaan sumber tenaga boleh diperbaharui.
Melalui kolaborasi ini, Malaysia berpeluang memanfaatkan kepakaran teknikal antarabangsa dan kekuatan akademik tempatan. Kepakaran serta pengalaman GRSB diharap menjadi asas kepada pembangunan projek demonstrasi daripada fasa kajian ke peringkat mini loji, seterusnya loji berskala mega yang boleh disambungkan ke grid nasional.
Dari Kuasa Elektrik ke Pembangunan Komuniti
GRSB tidak melihat geoterma hanya sebagai sumber tenaga elektrik semata-mata. Visi syarikat ini lebih luas dan merangkumi aspek komuniti, pendidikan serta kelestarian:
Kuasa Bersih Langsung: Contohnya, loji demonstrasi 10 kW untuk tujuan pendidikan atau penggunaan luar grid di Kampung Ulu Slim, Perak.
Loji Mini untuk Eko-Pelancongan: Sehingga 50 kW bagi tujuan pelancongan, komuniti atau pusat pembelajaran.
Penghasilan Elektrik Komersial: Menyediakan asas kepada pembangunan loji 10–30 MW sebagai tapak komersial pertama di Malaysia, terutama di kawasan Proton City, Tanjung Malim, yang terletak kira-kira 20 kilometer dari Kampung Ulu Slim.
Kebajikan Komuniti dan Pendidikan: GRSB telah menaja hadiah konvokesyen bernilai RM10,000 kepada bakal graduan UKM bermula sesi 2025/2026, dikenali sebagai Hadiah Kelestarian Geothermal Resources inisiatif ini menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).
Selain itu, makmal geoterma di UKM berfungsi memproses data lapangan dan merancakkan aktiviti pembelajaran yang terbuka kepada semua pihak. Penyediaan tiga buah kenderaan turut membantu pergerakan pasukan penyelidik dalam pelbagai bidang, bukan terhad kepada geoterma sahaja.
GRSB diyakini mampu menjadi perintis dalam arena tenaga geoterma — satu cabang tenaga yang jarang dibincangkan tetapi berimpak besar. Melalui penyelidikan dan kajian berterusan oleh pasukan UKM, sebuah peta taburan air panas Malaysia telah didaftarkan sebagai hak cipta rasmi, menandakan langkah awal ke arah pengkomersialan hasil penyelidikan universiti.
Dengan sokongan berterusan dan pelaburan strategik, GRSB bukan sahaja berpotensi membangunkan loji geoterma pertama di Malaysia, malah meletakkan negara ini sebagai pemain utama di ASEAN dalam penerokaan tenaga panas bumi yang aplikasinya bukan sekadar penjanaan elektrik.
Melakar Laluan Hijau Tenaga Masa Hadapan
Malaysia kini memiliki sumber tenaga hijau yang belum diterokai secara meluas dan mendalam — tenaga geoterma. Potensi ini sedang dirintis oleh GRSB yang menggabungkan kepakaran akademik, teknologi moden dan jaringan antarabangsa.
Dengan misi yang jelas, pendekatan berasaskan ilmu dan kepimpinan berwawasan, GRSB berpotensi bukan sahaja menjana tenaga, tetapi juga mencipta masa depan yang hijau, lestari dan mampan. Sokongan kerajaan, pelabur dan komuniti menjadi pemangkin utama untuk menjadikan visi ini satu realiti. - DagangNews.com








