Malaysia mampu jadi hab industri gaharu dunia melalui inovasi MyKynam | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Malaysia mampu jadi hab industri gaharu dunia melalui inovasi MyKynam

Dr. Mohd Syafik menunjukkan ekstrak dari pokok karas yang dijadikan gaharu untuk adunan minyak wangi, kepada wartawan baru-baru ini.
Oleh Dr. Mohd Syafik Mohamad Hamdan

Industri gaharu berasaskan pokok karas kini semakin mendapat perhatian dunia sebagai sektor bioekonomi bernilai tinggi yang berpotensi menjana pendapatan lumayan kepada negara.

 

Permintaan global terhadap minyak dan kayu gaharu, produk kesihatan, kosmetik serta wangian terus meningkat, khususnya dari Timur Tengah, China, Jepun, Korea Selatan dan Eropah.

 

Keadaan ini membuka peluang besar kepada Malaysia untuk muncul sebagai hab industri gaharu dunia melalui pembangunan teknologi, penyelidikan dan penghasilan spesies hibrid yang lebih produktif. Antara inovasi yang berpotensi mengubah industri ini ialah pembangunan gaharu hibrid MyKynam oleh Agartech Ventures Sdn. Bhd. (AVSB).


 

AGARTECH Ventures Sdn. Bhd.
Pengerusi Agartech Ventures, Datuk Hishamuddin Abdul Karim - Gambar DagangNews.com

 


Selama beberapa dekad, industri gaharu bergantung kepada spesies liar seperti Aquilaria malaccensis yang memerlukan tempoh antara 15 hingga 20 tahun sebelum menghasilkan resin berkualiti tinggi. Tempoh pertumbuhan yang panjang, bekalan anak benih berkualiti yang terhad, masalah pembajaan serta penghasilan resin yang tidak seragam menyebabkan produktiviti sukar dipertingkatkan.

 

Pada masa sama, permintaan dunia terus meningkat sehingga mewujudkan jurang besar antara bekalan dengan permintaan. Oleh itu, pembangunan spesies gaharu hibrid menjadi semakin penting bagi memastikan kelestarian industri.

 

Melalui teknologi pembiakbakaan moden dan pemilihan induk terbaik, MyKynam menghasilkan varieti gaharu hibrid yang tumbuh lebih cepat, lebih tahan terhadap tekanan persekitaran, dapat mengurangkan kos perladangan serta berpotensi menghasilkan resin berkualiti tinggi dalam tempoh lebih singkat berbanding spesies konvensional.

 

Nilai tambah kepada industri

Inovasi MyKynam bukan sekadar menghasilkan varieti baharu, malah membuka peluang untuk meningkatkan keseluruhan rantaian nilai industri gaharu negara. Dengan kadar pertumbuhan lebih pantas, pengusaha ladang dapat mempercepatkan pulangan pelaburan, sekali gus meningkatkan daya tarikan sektor ini kepada pelabur tempatan dan antarabangsa.

 

Pembangunan varieti gaharu juga perlu disokong oleh pendekatan saintifik yang menggabungkan analisis genetik DNA dengan analisis profil kimia minyak gaharu.


 

Dr. Mohd Syafik Mohamad Hamdan
Dr. Mohd Syafik Mohamad Hamdan

 

Pendekatan ini membolehkan setiap varieti hibrid dikenal pasti secara tepat berdasarkan identiti genetiknya, selain menentukan potensi penghasilan sebatian aromatik utama yang mempengaruhi nilai komersial minyak gaharu.

 

Penggunaan penanda DNA dapat menjamin ketulenan bahan tanaman, mengelakkan kekeliruan spesies serta membolehkan sistem pensijilan varieti dibangunkan pada masa hadapan.

 

Pada masa sama, teknologi Gas Chromatography-Mass Spectrometry (GC-MS) mampu mengenal pasti komponen kimia utama seperti seskuiterpena dan kromon yang menentukan aroma, kualiti serta nilai pasaran minyak gaharu.

 

Gabungan kedua-dua pendekatan ini dapat membentuk pangkalan data saintifik yang kukuh untuk menyokong pembangunan standard nasional dan antarabangsa bagi produk gaharu Malaysia. Standard ini penting untuk meningkatkan keyakinan pengguna dan memudahkan eksport ke pasaran premium dunia.


 

Agartech Ventures

 


Kerjasama semua pihak diperlukan

Malaysia mempunyai banyak kelebihan untuk muncul sebagai hab industri gaharu dunia. Negara mempunyai iklim tropika yang sesuai, kepakaran penyelidikan di universiti, institusi penyelidikan berpengalaman, jaringan industri yang semakin berkembang serta dasar bioekonomi yang menyokong teknologi hijau.

 

Apa yang diperlukan ialah penyelarasan strategi nasional supaya semua pemain industri bergerak dalam satu ekosistem pembangunan gaharu yang mampan.

 

Kerajaan boleh memainkan peranan melalui penyediaan dana penyelidikan, geran inovasi, insentif kepada pengusaha ladang serta pembangunan pusat kecemerlangan gaharu negara.

 

Kerjasama strategik antara universiti, syarikat swasta dan agensi kerajaan juga mampu mempercepatkan pengkomersialan teknologi baharu.

 

Penyelidikan dan inovasi gaharu berpotensi menjadikan Malaysia sebagai pusat rujukan dunia dalam bidang genetik, kultur tisu, inokulasi resin, analisis minyak, pembangunan produk hiliran serta latihan industri. Pendekatan ini turut membantu melahirkan lebih ramai tenaga pakar tempatan untuk memimpin industri pada masa hadapan.

 

Produk hiliran beri nilai lebih tinggi

Nilai sebenar industri gaharu bukan hanya terletak pada penanaman pokok, tetapi juga pada pembangunan produk hiliran bernilai tinggi.

 

Minyak gaharu premium kini digunakan dalam industri minyak wangi mewah, aromaterapi, kosmetik, farmaseutikal, makanan kesihatan serta produk penjagaan diri. Nilai tambah daripada pemprosesan jauh lebih tinggi berbanding menjual kayu gaharu mentah.

 

Pada 2014, beberapa kajian saintifik diterbitkan mengenai potensi sifat antikanser minyak gaharu. Dalam tradisi masyarakat Arab pula, terdapat amalan mengambil setitik minyak gaharu untuk tujuan kesihatan, namun kajian terperinci mengenainya masih terhad.

 

Institut Kanser Negara melaporkan seramai 110 rakyat Malaysia disahkan menghidap kanser setiap hari. Justeru, gaharu berpotensi dibangunkan sebagai produk kesihatan berasaskan penyelidikan saintifik bagi memberi manfaat kepada masyarakat.

 

MyKynam juga berpotensi menjadi jenama gaharu premium Malaysia yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa. Dengan identiti varieti yang jelas serta disokong bukti saintifik, produk Malaysia boleh dipasarkan sebagai gaharu premium yang mempunyai ketulenan, konsistensi dan kebolehkesanan tinggi.

 

Teknologi digital tingkat kecekapan

Pendigitalan industri turut perlu diberi perhatian. Penggunaan kecerdasan buatan (AI), Internet Kebendaan (IoT), penderiaan jauh menggunakan dron, sistem pemantauan ladang pintar serta analisis data raya mampu meningkatkan kecekapan pengurusan ladang gaharu.

 

Teknologi ini membolehkan pertumbuhan pokok dipantau secara masa nyata, sekali gus membantu meningkatkan produktiviti dan mengurangkan kos operasi.

 

Pembangunan industri gaharu mampu mewujudkan pekerjaan berkemahiran tinggi, meningkatkan pendapatan pekebun, melahirkan usahawan luar bandar serta menambah nilai eksport negara.

 

Industri ini juga selari dengan aspirasi Kerajaan Malaysia yang menekankan pembangunan ekonomi berasaskan inovasi, kemampanan dan kesejahteraan rakyat.

 

Pembangunan ladang gaharu turut dapat mengurangkan tekanan terhadap populasi gaharu liar di hutan, sekali gus menyokong usaha memulihara biodiversiti negara. Pendekatan ini mengimbangi pertumbuhan ekonomi dengan pemeliharaan alam sekitar.


 

AGARTECH Ventures Sdn. Bhd.

 


Malaysia tidak seharusnya sekadar menjadi pengeluar bahan mentah. Negara perlu bergerak sebagai peneraju inovasi, pemilik teknologi dan pengeksport produk premium berasaskan gaharu.

 

Inovasi seperti MyKynam membuktikan penyelidikan tempatan mampu menghasilkan penyelesaian bertaraf antarabangsa apabila disokong oleh kerjasama antara akademia, industri dan kerajaan.

 

Sekiranya penanaman varieti hibrid MyKynam diteruskan bersama program pensijilan, penyelidikan DNA, analisis profil kimia, pembangunan produk hiliran serta strategi pemasaran global, Malaysia berpotensi muncul sebagai pusat kecemerlangan gaharu dunia dalam tempoh sedekad akan datang.

 

Inilah masanya untuk negara memanfaatkan kekuatan penyelidikan, inovasi dan biodiversiti tempatan bagi meletakkan Malaysia sebagai hab industri gaharu bertaraf dunia. - DagangNews.com

 

 

Dr. Mohd Syafik Mohamad Hamdan ialah pensyarah dan Ketua Jabatan Agroteknologi di Fakulti Agrosains, Kolej Universiti Agrosains Malaysia (UCAM) yang telah menjalankan penyelidikan berkaitan pembangunan industri gaharu sejak 2015, khususnya dalam bidang bioteknologi tumbuhan, analisis genetik DNA, profil kimia minyak gaharu, bioekonomi dan pembangunan bioproduk berasaskan sumber semula jadi.