Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan yang dijadualkan pada 1 Ogos 2026 bukan sekadar menentukan pembentukan kerajaan negeri baharu, malah menjadi ujian terhadap keutuhan institusi adat, kestabilan politik serta keupayaan kepimpinan menangani cabaran demografi yang semakin berubah.
Pilihan raya kali ini hadir dalam suasana yang jauh berbeza berbanding sebelum ini. Dengan 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dipertandingkan, kempen berlangsung ketika negeri beradat itu berdepan krisis yang jarang berlaku, melibatkan pertembungan bekas sekutu politik yang dikaitkan dengan isu institusi diraja negeri.
Apa yang berlaku di Negeri Sembilan bukanlah isu kecil yang boleh dipandang ringan. Media arus perdana secara meluas melaporkan bahawa negeri ini sedang berdepan krisis perlembagaan dan adat yang jarang-jarang berlaku.
Pertikaian yang melibatkan institusi Undang Yang Empat, kedudukan Yang di-Pertuan Besar serta pelbagai tafsiran terhadap peruntukan negeri dan Adat Perpatih telah menggoncang kestabilan yang sekian lama menjadi identiti Negeri Sembilan.
Krisis takhta itu juga tidak lagi terhad dalam lingkungan institusi diraja, sebaliknya mula mempengaruhi landskap politik kerajaan negeri.
Inilah yang membezakan Negeri Sembilan daripada negeri-negeri lain. Negeri ini bukan sekadar pentas persaingan politik, tetapi mempunyai struktur pemerintahan yang masih berakar kepada adat yang terus hidup dan berfungsi.
Oleh itu, konflik sedemikian tidak wajar dilihat sekadar sebagai drama politik yang akan berakhir selepas pilihan raya. Ia menyentuh persoalan identiti negeri, keabsahan proses pentadbiran serta keyakinan rakyat yang menghormati adat, namun pada masa sama mengharapkan sebuah kerajaan yang stabil dan berfungsi dengan berkesan.
Pendekatan paling matang ialah meredakan keadaan, bukannya terus meniup sentimen yang boleh mengeruhkan lagi suasana.
Rakyat rentan semakin menjadi penentu
Di sebalik kebisingan krisis politik dan institusi, suara rakyat biasa sering kali tenggelam.
Berdasarkan data pendaftaran pemilih sehingga April 2026, Negeri Sembilan mempunyai seramai 889,490 pengundi berdaftar. Angka ini bukan sekadar statistik pilihan raya, sebaliknya mencerminkan harapan dan masa depan sebuah negeri yang sedang melalui perubahan demografi.
Berdasarkan anggaran Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) bagi tahun 2024, jumlah penduduk Negeri Sembilan dianggarkan sekitar 1.23 juta orang. Daripada jumlah itu, seramai 152,700 merupakan warga emas berusia 60 tahun ke atas, bersamaan kira-kira 12.3 peratus daripada keseluruhan penduduk.
Bagi kumpulan berusia 65 tahun ke atas pula, bilangannya dianggarkan sekitar 94,700 orang.
Data tersebut memperlihatkan bahawa warga emas bukan lagi kumpulan pinggiran yang boleh diketepikan selepas musim berkempen berakhir. Mereka merupakan blok pengundi yang signifikan, penyumbang penting kepada institusi keluarga serta kumpulan yang paling terkesan dengan isu kos sara hidup, akses kepada perkhidmatan kesihatan berkualiti, pengangkutan awam yang mesra pengguna serta jaringan keselamatan sosial.
Nasib golongan orang kurang upaya (OKU) juga tidak boleh dipinggirkan.
Jabatan Kebajikan Masyarakat merekodkan seramai 32,832 OKU aktif berdaftar di Negeri Sembilan sehingga penghujung 2024. Perlu diingat bahawa angka tersebut hanya melibatkan pendaftaran aktif.
Jumlah itu sepatutnya cukup untuk menyedarkan mana-mana parti politik bahawa kempen yang gagal menyentuh isu aksesibiliti OKU, pengangkutan mesra kerusi roda, kemudahan awam yang inklusif serta sokongan penjagaan hanyalah kempen yang sudah ketinggalan dan tidak lagi memenuhi realiti masyarakat hari ini.
Dinamik berbeza berbanding Johor
Perbandingan dengan PRN Johor memperlihatkan perbezaan yang cukup ketara dari sudut komposisi pengundi.
Di Johor, lebih 2.68 juta pengundi berdaftar menyaksikan naratif politik banyak dipengaruhi kumpulan pengundi muda berusia antara 18 hingga 39 tahun yang mewakili sekitar 52 peratus daripada keseluruhan pemilih.
Di Negeri Sembilan pula, kumpulan pengundi berusia bawah 30 tahun direkodkan melebihi 225,000 orang atau sekitar 25 peratus daripada keseluruhan pengundi.
Walaupun golongan muda di Negeri Sembilan tidak mendominasi seperti di Johor, pengaruh mereka tetap kritikal dalam menentukan keputusan pilihan raya.
Namun begitu, PRN Negeri Sembilan bukanlah salinan kepada PRN Johor yang banyak dipacu naratif populis untuk memancing undi golongan muda semata-mata.
Negeri Sembilan mempunyai kelebihan strategik tersendiri. Kedudukannya yang bersempadan dengan Selangor serta berhampiran Kuala Lumpur, Putrajaya dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menjadikannya bukan lagi sekadar negeri transit.
Melalui inisiatif seperti Malaysia Vision Valley (MVV 2.0) serta pembangunan koridor industri di Seremban, Port Dickson dan Nilai, negeri ini berada pada kedudukan yang baik untuk menyerap limpahan pertumbuhan ekonomi sekiranya segala potensi tersebut diuruskan secara cekap.
Pembangunan mesti dirasai rakyat
Bagaimanapun, pembangunan fizikal dan pelaburan bernilai berbilion ringgit tidak akan membawa makna sekiranya gagal diterjemahkan kepada kesejahteraan rakyat.
Persoalan utama bukanlah siapa yang menang dalam kempen pilihan raya, tetapi sama ada kemudahan di klinik dan hospital kerajaan mencukupi serta selesa untuk digunakan.
Begitu juga sama ada jalan raya cukup selamat untuk golongan uzur, kewujudan perumahan mampu milik yang mesra warga emas, ruang awam yang benar-benar selamat bagi pengguna tongkat atau kerusi roda, serta keberkesanan sistem penyampaian bantuan kebajikan tanpa kerenah birokrasi yang membebankan.
PRN yang matang bukan sekadar berlumba mencari kelemahan lawan politik, tetapi menawarkan penyelesaian yang jelas terhadap persoalan kehidupan harian rakyat.
Dalam konteks itu, pilihan politik di Negeri Sembilan perlu dinilai melalui dua neraca utama.
Neraca pertama ialah kestabilan, iaitu sama ada kerajaan yang bakal dibentuk mampu meredakan krisis yang sedang melanda, memelihara martabat adat serta mengembalikan keyakinan terhadap institusi negeri.
Neraca kedua ialah keberkesanan pentadbiran, iaitu sama ada kepimpinan baharu mempunyai kemampuan serta iltizam politik untuk menangani kos sara hidup, mewujudkan peluang pekerjaan, meningkatkan mutu perkhidmatan kesihatan awam, memperkukuh kebajikan warga emas serta memastikan dasar yang benar-benar inklusif kepada golongan OKU.
Mandat lebih besar daripada keputusan pilihan raya
Sekiranya politik terus berkisar kepada persaingan menjatuhkan lawan semata-mata, rakyat akhirnya akan berasa muak dan hilang keyakinan.
Sebaliknya, sekiranya PRN ini menjadi medan memulihkan kepercayaan rakyat, menegakkan keluhuran undang-undang serta memperhalusi agenda pembangunan yang lebih berteraskan kesejahteraan manusia, Negeri Sembilan berpotensi keluar daripada pergolakan semasa dalam keadaan yang lebih kukuh dan bersatu.
Negeri ini tidak memerlukan kepimpinan yang hanya lantang berpidato di pentas ceramah.
Dalam sebuah negeri yang sedang bergerak ke arah masyarakat menua, suara warga emas dan golongan OKU bukan lagi sekadar pelengkap kempen, sebaliknya menjadi kompas moral kepada hala tuju dasar kerajaan negeri.
Kejayaan PRN Negeri Sembilan tidak seharusnya diukur pada malam keputusan diumumkan, tetapi pada sejauh mana kerajaan yang dipilih benar-benar memikul amanah menjaga golongan yang paling mudah terpinggir.
Hari ini, Negeri Sembilan berada di persimpangan penting antara pergolakan dan kematangan politik, antara mempertahankan adat dengan mengurus pentadbiran moden, serta antara mengejar pembangunan pesat dan memenuhi keperluan rakyat yang semakin rentan.
Pada akhirnya, ukuran sebenar pilihan raya negeri bukan sekadar siapa yang berjaya membentuk kerajaan, tetapi siapa yang benar-benar mampu memikul amanah untuk mentadbir dengan stabil, menghormati institusi negeri dan memastikan pembangunan yang dirancang memberi manfaat kepada seluruh lapisan rakyat. - DagangNews.com








