Universiti Teknologi MARA (UiTM) kini melangkah lebih jauh dalam memperkukuh pendidikan kejuruteraan dengan melaksanakan program Pembelajaran Berasaskan Kerja atau WBL bagi program Teknologi Kejuruteraan Mekatronik di Fakulti Kejuruteraan Mekanikal, UiTM Shah Alam.
Program ini merangkumi tiga tahun pembelajaran di universiti dan satu tahun penuh penempatan industri, bagi membentuk graduan yang bersedia sepenuhnya menghadapi cabaran dunia pekerjaan.
Program ini telah mula menghantar kohort pertama pelajar untuk menjalani penempatan industri WBL pada tahun 2024.
Sejak diperkenalkan, lebih 30 syarikat industri daripada pelbagai sektor telah menjadi rakan kerjasama rasmi dalam menyokong latihan dan pembangunan pelajar.
Pengalaman Sebenar di Dunia Industri
Dalam era di mana robotik, automasi, dan sistem pintar menjadi nadi pelbagai industri, keperluan terhadap jurutera mekatronik yang mahir dan serba boleh semakin meningkat.
Menyedari hakikat ini, UiTM menyepadukan WBL ke dalam kurikulum agar pelajar bukan sahaja belajar di bilik kuliah, tetapi juga terlibat secara langsung dalam operasi sebenar di syarikat-syarikat industri.
Sebagai komponen wajib program 3+1, pelajar menjalani satu tahun penuh WBL di industri sebagai sebahagian daripada saranan Majlis Akreditasi Teknologi Kejuruteraan (ETAC) di bawah Lembaga Jurutera Malaysia (BEM).
Sepanjang penempatan WBL, pelajar diberi peluang mengendalikan tugasan seperti penyelenggaraan robotik, ujian sistem automasi, pengaturcaraan PLC, serta membantu dalam pembangunan penyelesaian kejuruteraan.
Mereka dibimbing oleh penyelia industri dan dipantau oleh pensyarah UiTM bagi memastikan pengalaman pembelajaran yang terarah dan berkualiti.
“Pelajar bukan hanya memerhati, malah mereka benar-benar terlibat, menyumbang idea, dan membina keyakinan melalui tugasan sebenar,” ujar Dr Hafizan Hashim, Ketua Program Mekatronik UiTM.

Manfaat Dibahagi Untuk Semua Pihak
Program WBL memberikan impak besar kepada pelajar, pensyarah, industri, dan universiti. Bagi pelajar, pengalaman industri secara langsung membantu mereka membina kemahiran teknikal sebenar, memahami budaya kerja profesional, meningkatkan keyakinan, serta memperluas rangkaian hubungan industri. Ramai pelajar turut menerima tawaran pekerjaan sebelum tamat pengajian.
Pensyarah pula mendapat pendedahan kepada teknologi terkini melalui kerjasama industri, sekaligus membolehkan mereka menambah baik kandungan kursus, menyesuaikan pendekatan pengajaran, dan membuka peluang penyelidikan bersama.
Contohnya, pensyarah UiTM, Dr Suzilawati Muhamud, telah menjalinkan kerjasama industri dalam pembangunan sistem IoT yang berjaya meningkatkan produktiviti syarikat. Sistem yang dibangunkan oleh pelajar WBL di bawah seliaan beliau bukan sahaja digunakan secara langsung di industri, malah turut memenangi anugerah emas dalam pertandingan inovasi, membuktikan keberkesanan hubungan akademia–industri yang terjalin.
Pada masa yang sama, industri turut mendapat manfaat melalui akses kepada bakat baharu yang berpotensi, idea segar, dan tenaga kerja tambahan yang mampu menyumbang kepada projek-projek penting.
Ini juga memudahkan syarikat menilai calon pekerja masa depan. UiTM pula dapat memperkukuh reputasinya sebagai universiti yang menekankan pendidikan berasaskan amalan sebenar dan keperluan industri semasa.

Membentuk Jurutera Teknologi Masa Hadapan
Selain kemahiran teknikal, WBL turut memupuk kemahiran insaniah seperti komunikasi, kerja berpasukan, kepimpinan, dan penyelesaian masalah yang merupakan ciri penting bagi graduan dalam era teknologi moden.
UiTM juga merancang untuk memperluas rangkaian industri bagi memastikan lebih banyak peluang penempatan berkualiti dapat disediakan kepada pelajar Mekatronik pada masa akan datang.
Kejayaan pelaksanaan WBL tidak akan tercapai tanpa komitmen padu pasukan penyelaras Mekatronik, pensyarah penyelia, dan kakitangan fakulti yang sentiasa memastikan perjalanan program berjalan lancar.
UiTM turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua rakan industri yang membuka ruang, berkongsi kepakaran, serta memberi peluang kepada pelajar untuk berkembang sebagai jurutera masa depan negara.
Melalui kerjasama utuh antara universiti dan industri, UiTM terus komited melahirkan graduan mekatronik yang inovatif, berkemahiran tinggi, dan bersedia menyumbang kepada pembangunan Malaysia. - DagangNews.com








