Malaysia sering dijulang kerana autoriti standard halal JAKIM yang mendapat pengiktirafan di seantero 50 buah negara.
Sehingga Julai 2024, statistik menunjukkan lebih 9,000 syarikat, di mana 80 peratus daripadanya terdiri daripada perusahaan kecil dan sederhana (PKS), telah memegang sijil halal rasmi.
Data ini mengesahkan kematangan ekosistem halal di Malaysia; namun, kematangan ini kini berhadapan dengan cabaran epistemologi yang lebih genting: bagaimana memastikan industri halal kita tidak sekadar kekal relevan, tetapi mendominasi dan memimpin persaingan global.
Dalam ucaptama beliau di Global Halal Summit 2025, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan suatu tesis penting: halal melangkaui batas label; ia adalah simbol intrinsik integriti, etika, dan nilai Islam yang kini diterima sebagai kerangka ekonomi universal.
Justeru, beliau menekankan bahawa Malaysia mesti bertransformasi, beralih daripada peranan sekadar pengawal atur (regulator) atau pengeluar sijil kepada peneraju inovasi naratif halal dunia.

Dari Asas Kepatuhan ke Aras Penciptaan Nilai
Pada realiti hari ini, sebahagian besar PKS halal masih terperangkap dalam mentaliti pematuhan (compliance mindset). Mereka hanya memenuhi kriteria minimum untuk pensijilan halal, kemudian berpuas hati dengan mencetak logo pada bungkusan produk.
Strategi pasif ini ternyata tidak berupaya menghadapi gelombang persaingan antarabangsa. Negara bukan majoriti Muslim, seperti Jepun, Korea Selatan, bahkan gergasi pertanian seperti Brazil, kini giat meneroka pasaran halal dengan kelebihan daya cipta dan inovasi produk yang agresif.
Kajian terkini yang dijalankan oleh pasukan penyelidik kami mengukuhkan pandangan bahawa pemilik dan pengurus yang memiliki minda inovatif mempunyai korelasi yang signifikan dengan tingkah laku proaktif.
Tingkah laku ini mencakupi penjanaan idea baharu, penganjuran inisiatif, dan merealisasikannya. Kesinambungan tingkah laku ini membawa kepada prestasi inovasi yang unggul, yang seterusnya menjamin daya saing mampan di kancah global.
Minda inovatif, dengan kata lain, adalah pemangkin paradigma yang mendorong industri daripada sekadar mematuhi piawaian yang sedia ada kepada mencipta piawaian baharu.
Enam Tunjang Epistemologi Inovatif
Penyelidikan kami mendefinisikan enam elemen utama minda inovatif yang wajib diinternalisasi oleh para usahawan halal sebagai panduan strategik:
Kepercayaan (Trust) – membina keyakinan teguh merentas keseluruhan rantaian bekalan.
Ketahanan (Resilience) – menginstitusikan kegagalan sebagai proses pembelajaran dan penyempurnaan yang berharga.
Kepelbagaian (Diversity) – keterbukaan kognitif terhadap idea luar biasa dan latar belakang budaya yang berbeza.
Kekuatan Mental (Mental Fortitude) – keupayaan psikologi untuk menghadapi gejolak dan cabaran pasaran global yang sering tidak menentu.
Kesempurnaan (Excellence) – penekanan mutlak pada kualiti produk dan proses, melangkaui sekadar kelulusan minimum.
Kolaborasi (Collaboration) – kesediaan untuk menjalin kerjasama strategik, bahkan dengan entiti pesaing, demi penerokaan pasaran yang belum diterokai.
Hanya apabila elemen-elemen ini dihayati, barulah industri halal kita tidak hanya dipandu oleh disiplin syariah, tetapi juga digerakkan secara dinamik oleh dorongan inovasi.
Frontier Inovasi Halal Kontemporari
Minda inovatif telah membuka lembaran baharu kepada pelbagai bentuk inovasi dalam industri halal. Hal ini mengukuhkan mesej bahawa halal bukan sahaja suci dan bersih, tetapi juga moden, lestari, dan berkualiti tinggi.
Contohnya, penggunaan teknologi rantaian blok (blockchain) kini memastikan ketelusan dan kebolehjejakan yang utuh dalam rantaian halal.
Sementara itu, aplikasi kecerdasan buatan (AI) mempertingkat efisiensi dan ketepatan dalam prosedur audit halal yang kompleks.
Selain itu, pembangunan protein alternatif berasaskan tumbuhan menjawab keperluan pengguna Muslim dan bukan Muslim yang mementutkan kelestarian dan etika, di samping penghasilan kosmetik halal yang mesra alam sejajar dengan permintaan pasaran global.
Inovasi-inovasi ini bukan sekadar trend; ia adalah bukti komitmen industri halal untuk kekal relevan dan berdaya saing secara eksponen di peringkat global.
Peranan Ekosistem Institusi Sokongan
Usaha membudayakan minda inovatif dalam industri halal memerlukan sokongan ekosistem institusi yang kukuh; pengusaha tidak boleh dibiarkan bergerak secara solipsistik.
Pihak Kerajaan memainkan peranan utama dengan menyediakan insentif fiskal seperti potongan cukai untuk penyelidikan dan pembangunan (R&D) halal, di samping geran untuk memupuk hubungan simbiotik antara syarikat dan institusi akademik.
Institusi pendidikan tinggi pula diamanahkan untuk merevolusikan kurikulum halal, memastikan graduan mampu menyulam kefahaman mendalam tentang fikah halal dengan kemahiran teknologi, sains data, dan reka bentuk produk moden.
Serentak itu, agensi pensijilan perlu terus mengoptimumkan prosedur dan memperluas pengiktirafan badan pensijilan antarabangsa demi mempermudah eksport produk Malaysia.
Dengan kerjasama sinergi semua pihak, ekosistem ini mampu menjana inovasi yang menjadikan industri halal lebih kompetitif dan dinamik.
Walaupun Malaysia telah mempertahankan kedudukan teratas Global Islamic Economy Indicator selama 11 tahun berturut-turut, anugerah ini perlu diterjemahkan secara nyata kepada penciptaan produk inovatif yang benar-benar menguasai pasaran antarabangsa.
Sintesis: Melangkaui Simbol, Menjadi Rujukan Global
Seperti yang diutarakan oleh Perdana Menteri, halal adalah simbol kepercayaan antarabangsa. Namun, simbol ini tidak boleh dibiarkan menjadi entiti statik. Ia mesti sentiasa diperkukuh melalui daya cipta, kualiti yang tidak berkompromi, dan orientasi kelestarian.
Malaysia mempunyai landasan institusi yang utuh melalui JAKIM, Halal Development Corporation, dan jaringan eksport yang luas. Walau bagaimanapun, masa depan ekonomi halal ditentukan oleh sejauh mana minda inovatif dapat diinternalisasi dan dibudayakan sebagai nadi utama.
Sekiranya minda inovatif menjadi etos industri halal, Malaysia bukan sahaja akan berjaya mempertahankan reputasi sebagai peneraju halal, malah akan muncul sebagai Hab Inovasi Halal Global yang menjadi rujukan intelektual dan praktikal di seluruh dunia. - DagangNews.com
Dr. Mohd Nur Ruzainy Alwi adalah Pensyarah Kanan, Jabatan Pengurusan Bisnes, UNITEN Business School di Universiti Tenaga Nasional (UNITEN)








