Pada 1 Julai lalu, Vertiv secara rasmi membuka kemudahan pembuatan baharunya di Johor.
Bagi kami, pelancaran itu menandakan satu pencapaian penting dalam pertumbuhan syarikat di seluruh Asia. Ia juga mencerminkan satu perubahan yang telah kami perhatikan sejak sekian lama iaitu peranan Johor dalam ekonomi digital yang semakin berkembang.
Dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini, negeri itu menjadi antara pasaran infrastruktur digital paling diberi perhatian di Asia Tenggara.

Johor telah meluluskan 42 projek pusat data bernilai lebih RM164 bilion dan kini berada di tengah-tengah hab pusat data Malaysia yang menjadi tonggak kepada aspirasi ekonomi digital negara.
Perkembangan ini berjaya menarik penyedia perkhidmatan awan global, syarikat hiperskala dan syarikat teknologi yang ingin memenuhi permintaan perkhidmatan digital yang semakin meningkat di rantau ini.
Seiring kecerdasan buatan (AI) terus memacu permintaan terhadap infrastruktur digital, tumpuan perbincangan kini beralih daripada sekadar lokasi kapasiti itu dibangunkan.
Perhatian semakin diberikan kepada bagaimana infrastruktur tersebut disediakan, disokong dan dikembangkan bagi memenuhi keperluan teknologi masa hadapan.

Kekuatan industri Johor jadi pemangkin digital
Di sinilah kekuatan Johor menjadi semakin penting.
Sebelum kemunculan AI lagi, Johor telah lama membina reputasi sebagai hab pembuatan dan perindustrian yang penting. Asas industri yang kukuh, tenaga kerja berkemahiran, rantaian bekalan yang mantap serta jaringan logistik yang baik telah menyokong pelbagai sektor industri selama beberapa dekad.
Kelebihan yang sama kini membantu membentuk fasa seterusnya dalam pertumbuhan infrastruktur digital negara.
Di sebalik setiap pusat data, terdapat rangkaian lebih luas yang melibatkan pengeluar, jurutera, pakar teknikal dan rakan kongsi rantaian bekalan yang bertanggungjawab menyediakan teknologi bagi memastikan persekitaran pusat data beroperasi dengan cekap.
Apabila penggunaan pusat data menjadi semakin besar dan kompleks, keupayaan sokongan seperti ini menjadi semakin penting.
Kejayaan infrastruktur digital bukan hanya bergantung kepada keupayaan menarik pelaburan, tetapi juga kepada kebolehan membina, memasang, menyelenggara dan menyokong teknologi yang semakin kompleks pada skala besar.
Negara dan wilayah yang mampu memperkukuh keupayaan ini akan berada pada kedudukan lebih baik untuk menyokong pertumbuhan jangka panjang apabila permintaan terhadap AI terus meningkat.
Vertiv perkukuh rantaian bekalan pusat data
Faktor inilah antara pertimbangan yang mendorong keputusan Vertiv untuk memperluaskan jejak pembuatan kami di Johor.
Kemudahan baharu itu akan menghasilkan pelbagai teknologi kuasa kritikal dan pengurusan haba yang menyokong pusat data moden, termasuk penyelesaian yang direka untuk memenuhi keperluan persekitaran AI yang semakin mencabar.
Apabila beban kerja AI terus berkembang, teknologi ini memainkan peranan semakin penting dalam membantu pengendali pusat data menyokong persekitaran pengkomputeran berprestasi tinggi, di samping memastikan kebolehpercayaan dan kecekapan operasi.
Selain memenuhi keperluan pelanggan di rantau ini, kemudahan tersebut turut memperkukuh keupayaan pembuatan tempatan serta menyumbang kepada rantaian bekalan lebih luas yang menyokong pertumbuhan infrastruktur digital.
Secara lebih menyeluruh, perkembangan ini mencerminkan keyakinan kami terhadap hala tuju jangka panjang Johor.
Malaysia telah pun membuktikan dirinya sebagai destinasi menarik untuk pelaburan infrastruktur digital. Cabaran seterusnya ialah bagaimana momentum ini diterjemahkan kepada keupayaan jangka panjang yang memberi manfaat lebih luas kepada industri dan masyarakat.


Johor membentuk masa depan digital Malaysia
Mencapai visi tersebut memerlukan lebih daripada sekadar pelaburan.
Ia bergantung kepada pembangunan kepakaran tempatan secara berterusan, penyertaan industri yang lebih kukuh serta keupayaan menyokong pertumbuhan digital pada skala besar.
Johor berada pada kedudukan yang baik untuk memainkan peranan penting dalam perjalanan tersebut.
Kisah infrastruktur digital Malaysia sememangnya sudah berkembang dengan kukuh. Bab seterusnya akan ditentukan oleh sejauh mana pelaburan yang diterima dapat diterjemahkan kepada nilai berkekalan untuk perniagaan, industri dan masyarakat.
Pertumbuhan berterusan Johor menunjukkan Malaysia semakin bersedia untuk membentuk, bukannya sekadar mengambil bahagian dalam, masa depan digital serantau. - DagangNews.com








