Penghantar makanan hari ini, esok jadi majikan: Cara pekerja gig bina pendapatan baharu | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Penghantar makanan hari ini, esok jadi majikan: Cara pekerja gig bina pendapatan baharu

Oleh Dr Nur Hazwani Zolkifly dan Dr Nur Lailatul Husna Mohammed Yusof

Sektor ekonomi gig, termasuk perkhidmatan e-hailing dan p-hailing, telah menjadi sumber pendapatan utama bagi sebilangan besar komuniti B40 dan belia.

 

Menurut data guna tenaga sektor tidak formal Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) bagi 2023, pekerja gig di Malaysia didominasi golongan belia berumur 15 hingga 30 tahun dan individu daripada kategori pendapatan B40 yang bergantung sepenuhnya kepada platform e-hailing mahupun p-hailing.

 

Walau bagaimanapun, kebergantungan sepenuhnya kepada satu platform gig mendedahkan mereka kepada pelbagai risiko luar jangka seperti perubahan algoritma platform, pelarasan kadar komisen serta peningkatan kos penyelenggaraan dan bahan api yang menyebabkan ketidaktentuan pendapatan.

 

Ketidaktentuan ini menyebabkan kedudukan kewangan isi rumah sentiasa berdepan risiko yang tinggi.

 

Oleh itu, bagi memastikan kelangsungan jangka panjang, selain meningkatkan kemahiran kendiri, pekerja gig perlu membina perniagaan sampingan sebagai pelindung kewangan (financial buffer) dan langkah transisi ke arah menjadi pemilik perniagaan.

 

Memanfaatkan waktu luar puncak

Secara amnya, waktu luar puncak perkhidmatan penghantaran makanan adalah antara pukul 9 hingga 11 pagi serta 2 hingga 5 petang pada Isnin hingga Jumaat.

 

Bagi perkhidmatan e-hailing pula, permintaan lazimnya lebih rendah pada pertengahan pagi hingga petang serta lewat malam pada hari bekerja.

 

Oleh itu, walaupun waktu bekerja dalam ekonomi gig adalah fleksibel, pendapatan pada waktu luar puncak akan berkurangan disebabkan kekurangan pesanan dan kadar tambang yang lebih rendah.

 

Kebiasaannya, kita dapat melihat pekerja gig hanya menunggu pesanan di bahu jalan atau di ‘port’ lepak. Sebaliknya, pekerja gig boleh memanfaatkan waktu luar puncak untuk menguruskan perniagaan sampingan.

 

Contohnya, seorang pemandu e-hailing yang mempunyai kepakaran dalam penyediaan makanan boleh menggunakan waktu senggang untuk menguruskan perniagaan makanan secara kecil-kecilan dari rumah (home-based business).

 

Selain penyediaan makanan, penghasilan kraf dan jualan dalam talian juga boleh dijalankan.

 

Pemasaran gerila dan jaringan secara langsung

Salah satu kelemahan ekonomi gig ialah pelanggan adalah milik platform, bukannya milik pemandu atau penghantar.

 

Pekerja gig perlu bijak memanfaatkan interaksi harian dengan penumpang atau pelanggan untuk membina rangkaian perniagaan peribadi.

 

Strategi ini dikenali sebagai pemasaran gerila (guerrilla marketing), iaitu interaksi secara langsung digunakan untuk menarik perhatian pelanggan dengan kos yang sangat rendah.

 

Contohnya, pekerja gig boleh berinteraksi dengan pengguna platform secara bersemuka ketika menghantar pesanan atau mengambil penumpang.

 

Dengan menyediakan kad perniagaan ringkas atau memanfaatkan saluran media sosial, perkhidmatan yang baik boleh membuka peluang untuk membina pangkalan pelanggan tetap bagi produk atau perkhidmatan lain yang ditawarkan.

 

Interaksi yang sopan dan perkhidmatan yang baik merupakan peluang pemasaran bersemuka (face-to-face marketing) secara percuma yang berpotensi tinggi untuk membina kepercayaan jangka panjang tanpa mengganggu profesionalisme dalam melaksanakan tugas sedia ada.

 

Pengurusan kewangan dan pengasingan akaun

Usahawan mikro lazimnya berdepan masalah dalam perniagaan akibat percampuran antara akaun peribadi dengan akaun perniagaan. Begitu juga bagi usahawan gig.

 

Kos sara hidup, kos operasi gig dan modal perniagaan sampingan perlu diasingkan.

 

Menguruskan kewangan sebagai usahawan gig memerlukan disiplin tinggi kerana pendapatan harian perlu diagihkan secara sistematik.

 

Usahawan gig boleh menguruskan pendapatan harian dengan mengaplikasikan formula berikut:

  1. Operasi dan sara hidup (50%–60%) — Membiayai kos bahan api, penyelenggaraan berkala kenderaan, komisen platform serta keperluan asas isi rumah.

  2. Modal pusingan perniagaan (20%–30%) — Dana khusus untuk pembangunan perniagaan sampingan, pembelian barangan, pembungkusan serta promosi.

  3. Simpanan kecemasan dan perlindungan (10%) — Perlindungan kewangan bagi menghadapi krisis atau kecemasan, termasuk caruman kendiri KWSP melalui i-Saraan dan PERKESO melalui Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) bagi menjamin keselamatan sosial jangka panjang.

 

Menggunakan kemahiran sedia ada

Pekerja gig boleh memanfaatkan kemahiran, pengetahuan dan bakat sedia ada untuk menjana sumber pendapatan tambahan.

 

Secara tidak sedar, mereka telah mengumpul pelbagai kemahiran praktikal sepanjang bekerja di jalan raya seperti pengurusan masa, menentukan laluan terpantas, berkomunikasi dengan pelanggan daripada pelbagai latar belakang serta pemanduan berhemah. Kemahiran ini boleh diterjemahkan kepada perkhidmatan berbayar.

 

Langkah pertama adalah dengan mengenal pasti kekuatan utama yang membezakan mereka daripada orang lain.

 

Kedua, tentukan tawaran yang jelas dengan mengenal pasti masalah khusus yang hendak diselesaikan atau manfaat nyata yang boleh diberikan kepada pelanggan.

 

Ketiga, kenal pasti kumpulan sasaran. Cari individu atau perniagaan yang menghadapi masalah tersebut dan memerlukan rumusan yang ditawarkan.

 

Seterusnya, tawarkan sesuatu yang ringkas dan jual secara langsung melalui media sosial atau rangkaian pelanggan sedia ada.

 

Elakkan persediaan yang terlalu rumit pada peringkat awal seperti membangunkan laman web yang mahal atau memberi tumpuan berlebihan kepada pembinaan jenama perniagaan sebelum pasaran sebenar dikenal pasti.

 

Akhir sekali, pilih model perniagaan yang bersesuaian dengan jadual pekerjaan gig, seperti menjalankan perniagaan pada waktu luar puncak.

 

Sebagai contoh, pekerja gig boleh memanfaatkan kemahiran yang diperoleh sepanjang bekerja dalam ekonomi gig untuk menawarkan perkhidmatan penghantar bebas (runner), ejen penghantaran produk tempatan, ejen affiliate, personal shopper, perkhidmatan penyelenggaraan asas kenderaan secara kecil-kecilan serta khidmat konsultasi atau coaching kepada pemandu baharu.

 

Ekonomi gig sebagai batu loncatan

Peralihan daripada seorang pemandu atau penghantar kepada majikan menuntut perubahan minda (mindset shift).

 

Seorang pekerja gig yang berjaya tidak hanya melihat stereng atau motosikal sebagai alat mencari tambang, sebaliknya sebagai platform untuk mengumpul modal dan membina jaringan.

 

Apabila perniagaan sampingan mula berkembang, pendapatan daripada e-hailing boleh dijadikan modal pusingan untuk menggaji pekerja pertama atau meluaskan operasi tanpa perlu membuat pinjaman bank yang berisiko tinggi.

 

Ekonomi gig seharusnya dijadikan batu loncatan dan bukannya destinasi akhir, terutama bagi komuniti B40.

 

Dengan mengaplikasikan strategi kepelbagaian, pengurusan operasi yang cekap serta kawalan aliran tunai yang berdisiplin, pekerja gig berupaya membina perniagaan yang lebih mampan, matang dan berdaya tahan ketika berdepan krisis. - DagangNews.com

 

Dr Nur Hazwani Zolkifly dan Dr Nur Lailatul Husna Mohammed Yusof adalah Pensyarah Kanan, Jabatan Pengurusan dan Perniagaan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perak