Penyahsenaraian KNM daripada Bursa Malaysia pada 5 November 2025 menandakan satu pengakhiran dan juga permulaan baharu bagi konglomerat kejuruteraan itu yang sudah lama dibebani masalah.
Para pemegang saham dilihat menerima langkah itu sebagai keperluan bagi menstabilkan syarikat, memberi ruang kepada KNM untuk menarik nafas dan membina semula kedudukannya seperti zaman kegemilangannya dahulu.

Berikut adalah catatan Badan Pengawas Pemegang Saham Minoriti (MSWG) mengenai KNM Group Berhad:
Pagi Khamis di Mines Resort City. Cuaca cerah. Sinar mentari berkilauan di permukaan tasik, menjadikan airnya beriak-riak seperti gelas perak. Di dalam bilik mesyuarat, kira-kira 50 pemegang saham KNM mula mengambil tempat untuk menghadiri Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) yang pastinya berbeza daripada yang pernah diadakan sebelum ini.
Pada ketika itu, KNM telah pun dinyahsenarai daripada Bursa Malaysia. Kod sahamnya hilang daripada skrin sehari sebelumnya, namun syarikat masih belum bersedia menutup buku.
EGM pagi itu bakal menentukan nasib aset KNM yang paling berharga iaitu Deutsche KNM GmbH (DKNM), syarikat induk kepada Borsig GmbH — nama yang suatu ketika dahulu melambangkan zaman kegemilangan KNM.
Soalan yang dibentangkan kepada pemegang saham nampak mudah: Adakah KNM perlu meneruskan penjualan DKNM kepada NGK Insulators Ltd dari Jepun pada harga €270 juta?
Namun di sebalik persoalan itu tersembunyi kisah cita-cita, cabaran dan kelangsungan sepanjang dua dekad. Inilah helaian panjang sebuah cerita yang kini kembali ke titik asalnya.
Daripada Keghairahan kepada Beban
Untuk memahami betapa pentingnya detik itu, kita imbas kembali tahun 2008. Ketika itu KNM sedang meningkat naik sebagai konglomerat kejuruteraan yang penuh keyakinan.
Mereka mencuri perhatian apabila mengambil alih Borsig GmbH dari Jerman dengan harga €350 juta — satu langkah berani yang meletakkan Malaysia di atas peta industri global. Pengambilalihan itu serta-merta meluaskan jejak KNM ke Eropah, membawa ketepatan kejuruteraan Jerman dan prestij berusia seabad.
Pada era kemuncaknya, Borsig menyumbang lebih 80% pendapatan keseluruhan KNM.
Namun pertumbuhan yang bersandarkan pinjaman selalunya goyah. Harga minyak mentah yang tidak menentu, projek baharu yang perlahan serta kos pembiayaan yang meningkat menekan aliran tunai KNM. Hutang yang dahulunya terkawal mula menjadi beban dek tekanan pasaran.
Menjelang 2021, kumpulan ini gagal membayar bon berdenominasi baht Thailand bernilai kira-kira RM347 juta pada masa itu.
Kegagalan ini mencetuskan kesan berantai — kekangan tunai, teguran audit dan akhirnya klasifikasi di bawah Nota Amalan 17 (PN17) sebagai syarikat yang berdepan masalah kewangan serius.
Rentetan peristiwa itu, selama dua tahun syarikat bergelut dengan usaha pemulihan, termasuk perintah sekatan, pelan perniagaan baharu, perubahan pengurusan dan beberapa kali pertukaran penasihat kewangan.
Namun setiap usaha terbantut oleh halangan utama iaitu beban hutang yang besar serta aliran tunai yang kian merosot.
Usaha Mencari Talian Hayat
Pihak pengurusan KNM sekian lama melihat Borsig sebagai aset paling berharga dan satu-satunya peluang untuk bertahan. Pada 2022, Kumpulan memulakan cubaan menjual syarikat Jerman itu kepada syarikat khas pelabur tempatan pada harga €220 juta, tetapi urus niaga gagal disempurnakan.
Cadangan untuk menyenaraikan Borsig di Bursa Singapura juga tidak kesampaian disebabkan keadaan pasaran dan isu masa.
Kemudian, pada awal 2025, muncul sinar baharu. NGK Insulators Ltd, syarikat Jepun yang juga pemain global dalam teknologi tenaga dan seramik berusia seabad, menawarkan €270 juta atau kira-kira RM1.26 bilion untuk memperoleh DKNM serta anak-anak syarikat Borsig di bawahnya.
Rundingan berlangsung selama beberapa bulan namun matlamatnya jelas — inilah tunjang pelan penstrukturan semula KNM yang dinanti-nantikan.
Di bawah perjanjian jual beli, NGK akan membayar 88% secara tunai selepas urus niaga dimuktamadkan, manakala 12% (sekitar €32 juta) disimpan dalam akaun eskrow selama lima tahun bagi menampung sebarang liabiliti atau tuntutan jaminan.
Urus niaga ini digambarkan pengarah sebagai bukan bermotifkan keuntungan, tetapi kelangsungan — satu jalan praktikal bagi menangani hutang RM1.33 bilion di bawah skim pengaturan (Scheme of Arrangement, SOA) yang diluluskan Mahkamah.
EGM di Mines Resort City
Pada hari EGM, pemegang saham tiba awal pagi. Mereka bertegur sapa sebelum mengambil tempat masing-masing. Wakil MSWG hadir sebagai pemerhati.
Tiada ketegangan, hanya kesedaran bahawa mesyuarat ini menandakan titik penting dalam usaha penstrukturan panjang KNM.
Syarikat menjelaskan bahawa pelupusan ini penting untuk melengkapkan penstrukturan semula dan menyelesaikan hutang Kumpulan berjumlah RM1.33 bilion. Kira-kira tiga perempat hasil jualan digunakan membayar hutang di bawah SOA, bakinya bagi menampung kos urus niaga dan modal kerja.
Soalan pemegang saham kritikal tetapi berhemah. Mereka menumpukan pada penilaian, masa urus niaga dan hala tuju selepas ini.
Lembaga Pengarah memberi jaminan bahawa anak syarikat tempatan — Borsig Boiler Systems Sdn Bhd dan KNM Borsig Services Sdn Bhd — akan terus beroperasi dan menjadi asas struktur baharu KNM.
Apabila usul dibawa ke undian, 71 pemegang saham mengambil bahagian. Keputusannya jelas: 93.7% bersetuju. Usul diluluskan dan KNM melangkah ke fasa seterusnya.
Maksud Sebenar Pelupusan Ini
Dengan kelulusan itu, proses pelaksanaan kini bermula. KNM dijangka merekodkan kerugian perakaunan kira-kira RM104 juta, disebabkan kos urus niaga dan kesan pertukaran mata wang.
Namun pelupusan mengurangkan beban hutang serta faedah dengan ketara. Selepas pelaksanaan, kunci kira-kira KNM dijangka jauh lebih ringan.
Dari sudut praktikal, tumpuan syarikat beralih kepada operasi domestik dan kerjasama strategik. Unit yang kekal — KNM Process Systems, Borsig Boiler Systems dan KNM Borsig Services — menjadi tunjang model perniagaan baharu yang lebih tumpat, berfokus pada fabrikasi, sistem tenaga dan perkhidmatan industri serantau.
Masih banyak langkah perlu disempurnakan, termasuk kelulusan regulator bagi pemindahan luar negara serta pematuhan syarat eskrow. Namun buat pertama kali selepas beberapa tahun, KNM dapat melaksanakan semua ini tanpa tekanan tarikh akhir pasaran awam.
Selesai Satu Bab, Bermula Bab Baharu
Penjualan Borsig memberi dua makna kepada pelabur lama: pengakhiran era KNM sebagai konglomerat tersenarai bertaraf global, dan permulaan entiti kejuruteraan persendirian yang lebih ringan hutangnya serta lebih fokus.
Transformasi ini mungkin membawa kepada kebangkitan semula atau pengurangan tenaga kerja, namun ia memberikan sesuatu yang lama didambakan — ruang untuk bernafas.
Keputusan EGM menunjukkan pemegang saham memahami peralihan ini. Dengan pilihan yang terhad, mereka memilih kepastian berbanding spekulasi.
Penyahsenaraian mungkin memadam nama KNM daripada skrin dagangan, tetapi bukan kepentingannya. Operasi masih berjalan, tanggungjawab kekal, dan semua pihak menunggu langkah seterusnya.
Penjualan Borsig bukan tanda menyerah, tetapi satu langkah reset. Syarikat yang dahulunya menembusi pasaran global kini menumpukan semula ke dalam negara — lebih sederhana, tetapi tetap bersemangat.
Nota editor:
Dalam kenyataan terbaharu 27 Nov lalu, KNM memaklumkan bahawa NGK sedang menilai kesan penyahsenaraian KNM terhadap baki CP sebelum meneruskan proses penutupan urus niaga.
NGK juga meminta maklumat tambahan berhubung tindakan undang-undang yang sedang berjalan oleh Bursa Malaysia terhadap KNM, dengan mengambil kira pertimbangan reputasi sebagai sebahagian daripada penilaian mereka.
Walaupun perkembangan ini berlaku, KNM menegaskan bahawa SPA tersebut masih sah. Di bawah perjanjian itu, mana-mana pihak hanya boleh menarik diri jika penutupan urus niaga tidak berlaku dalam tempoh sembilan bulan dari tarikh SPA, dengan syarat notis bertulis dikeluarkan — sesuatu yang belum berlaku setakat ini.
KNM berkata pihaknya sedang berinteraksi secara aktif dengan NGK untuk menentukan langkah seterusnya, termasuk kemungkinan melanjutkan tempoh CP atau meneroka pilihan lain di bawah SPA. Syarikat itu juga memberi jaminan bahawa ia akan memaklumkan perkembangan material dari semasa ke semasa. - DagangNews.com








