Pampasan pekerja daripada KDNK diunjur 40% | DagangNews Skip to main content

Pampasan pekerja daripada KDNK diunjur 40%

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 10 Ogos – Kerajaan akan memastikan peratusan pampasan pekerja syarikat meningkat kepada 40% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi meningkatkan jurang pendapatan pekerja bawahan dengan pengurusan tertinggi.

Setakat 2019, peratusan pampasan pekerja hanya mencatat 35.8% berbanding negara-negara maju lain yang mencecah antara 40% hingga 50%.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, antara langkah yang diambil bagi merealisasikannya adalah dengan kajian semula Akta Pekerja 1955 selain kadar produktiviti dan automasi di negara ini.

 

mustapa
Mustapa Mohamed

 

"Pampasan pekerja daripada KDNK negara kita kira-kira 36%, dan selebihnya diberikan kepada bonus dan modal.

"Salah satu perkara yang akan kerajaan lakukan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) adalah merangka strategi meningkatkan peratusan pampasan pekerja daripada KDNK, mungkin sekitar 40%, akan menentukan angka tepat dalam sebulan hingga dua bulan ini,“ kata beliau ketika sesi penggulungan usul menjunjung kasih titah diraja di Dewan Rakyat, hari ini.

Sebelum itu, Datuk Seri Hasan Arifin (BN-Rompin) ketika mencelah sesi penggulungan itu berkata, pengurusan tertinggi dan pemegang saham syarikat mencatatkan pendapatan yang sangat tinggi sehingga 40% berbanding pekerja, di bawah 30%.

Beliau mendakwa, antara isu yang mendorong kepada perkara berkenaan adalah Akta Kerja 1955 yang mungkin tidak tepat dan kesatuan pekerja tidak dinamik menyebabkan terdapat kekangan untuk mengubah struktur sedia ada.

Sehubungan itu, Mustapa berkata, kerajaan juga akan mempertimbangkan sistem upah yang berdasarkan produktiviti pekerja di sesebuah syarikat.  

"Pada masa ini, saya dimaklumkan bahawa kira-kira 90,000 syarikat di negara telah mengamalkan perkara ini, pekerja dibayar berdasarkan produktiviti.

"Langkah ini mungkin dapat meningkatkan lagi gaji yang diberikan kepada pekerja,“ tambah beliau. - DagangNews.com