Novartis Malaysia lanjutkan Program Diagnosis Molekular untuk penghidap kanser payudara | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Novartis Malaysia lanjutkan Program Diagnosis Molekular untuk penghidap kanser payudara

Mohamed Elwakil (kiri) dan Hareef Muhammed ketika pelancaran Kempen Penggalak PIK3CA untuk pesakit kanser payudara lanjutan.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 27 April - Novartis Malaysia melanjutkan kerjasama dengan dua makmal utama di Malaysia, Pantai Premier Pathology dan Subang Jaya Medical Center (SJMC) untuk memulakan misi memudahkan orang ramai menjalani ujian PIK3CA. 

 

PIK3CA ialah gen termutasi paling umum dalam kalangan penghidap kanser payu dara HR+/HER2- aBC2. 

 

Novartis dalam kenyataan berkata, kerjasama ini bertujuan memberi kesedaran bahawa diagnosis dan rawatan awal kanser payudara lanjutan (aBC) membawa kesan ketara terhadap kualiti kehidupan pesakit.

 

Katanya, apabila disahkan menghidap penyakit rumit seperti aBC, pesakit lazimnya digalakkan menjalani saringan bagi mengesan mutasi. 

 

"Bagaimanapun, ujian ini menelan belanja besar dan boleh menjadi penghalang kepada pesakit yang kurang mampu. Menerusi kerjasama Program Diagnosis Molekular yang dimulakan pada 2020, kos pesakit bagi PIK3CA telah berjaya dikurangkan sebanyak 53%. 

 

"Dalam usaha melanjutkan Program Diagnosis Molekular, Pantai Premier Pathology, menerusi kerjasama berterusan dengan Novartis Malaysia telah melancarkan Kempen Penggalak PIK3CA tahun lepas bagi penghidap ABC HR+/HER2- untuk melakukan ujian bagi mutasi PIK3CA, pada kadar bersubsidi sehingga 85%. 

 

"Dalam pada itu, Kempen Penggalak PIK3CA telah dimulakan untuk memastikan ujian ini lebih mudah didapati dan akan terus dikendalikan selagi kit ujian bersubsidi ini masih ada," katanya.

 

 

novartis

 

 

Presiden Syarikat Novartis Malaysia, Mohamed Elwakil berkata, kekurangan alat diagnostik kos rendah yang berkesan menjejaskan kesihatan ramai orang di negara-negara sedang membangun.

 

Justeru katanya, penjagaan kesihatan berkualiti, termasuk ujian awal dan berkesan, menjadi kunci untuk menambah baik prognosis dan kualiti kehidupan penghidap kanser payu dara dan merupakan sebahagian daripada misi Novartis untuk membantu menambah baik diagnosis awal bagi penghidap aBC dengan mutasi PIK3CA.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Pantai Premier Pathology, Hareef Muhammed pula berkata, dengan menyediakan ujian PIK3CA pada harga yang lebih murah dalam kempen ini, pesakit tidak perlu lagi tertanya-tanya tentang keadaan penyakit dan yakin terhadap pilihan rawatan berasaskan ujian biopenanda. 

 

"Malah, kami telah melihat sambutan luar biasa sejak pelancaran kempen pada 2022, yang memberi penekanan kepada kepentingan menyediakan ujian diagnostik yang termampu," katanya.

 

Setakat ini, Kempen Penggalak PIK3CA telah menyaksikan seramai 200 pesakit mendapat manfaat daripada diagnosis jitu, yang membawa kepada rawatan yang tepat pada masanya untuk membantu meningkatkan kualiti kehidupan dan melanjutkan hayat. - DagangNews.com