KUALA LUMPUR 11 Mei - Naib Ketua Wanita Umno, Datuk Norliza Abdul Rahim dilantik sebagai Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang baharu.
Perlantikan itu diumumkan oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamad Khaled Nordin menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.
Mohamad Khaled berkata, Norliza mempunyai pengalaman lebih 30 tahun dalam bidang pembangunan hartanah, pengurusan harta dan dasar perumahan awam merangkumi sektor kerajaan serta swasta.
"Tahniah dan selamat maju jaya diucapkan. Semoga dengan lantikan ini, beliau dapat menerajui PTPTN dalam memperkasa fungsi dan peranannya bagi mengurus pembiayaan kewangan dan pinjaman pelajaran pendidikan tinggi dengan strategik dan inovatif," katanya.
Pada 8 November 2021, Norliza dilantik sebagai Pengerusi UDA Holdings Bhd.
Norliza memiliki Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (Perakaunan), Ijazah Sarjana Muda Perancangan Kewangan Lanjutan dan Ijazah Sarjana Muda Perdagangan dan Pengurusan (Perakaunan).
Beliau mempunyai pengalaman lebih 30 tahun dalam bidang pembangunan hartanah, pengurusan harta dan dasar perumahan awam merangkumi sektor kerajaan serta swasta.
Norliza juga pernah dilantik sebagai Ahli Dewan Negara dari 2011 hingga 2017. - DagangNews.com








