KUALA LUMPUR 18 April - Syarikat penerbangan MYAirline menawarkan jualan tiket istimewa serendah RM25 untuk laluan domestik terpilih selama tiga hari bermula 17 April sehingga 19 April 2023.
MYAirline dalam kenyataan hari ini berkata, tawaran tersebut membolehkan penumpang menikmati tambang asas sifar pada laluan domestik sehala terpilih dari atau pergi ke Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk tempoh perjalanan antara 20 April sehingga 21 Mei 2023.
Katanya, tambang promosi sebanyak RM35 itu melibatkan penerbangan dari Kuala Lumpur ke Kota Bharu, dari Kota Kinabalu ke Tawau dan dari Pulau Pinang serta Langkawi ke Kuala Lumpur.
Jelasnya, ia menawarkan tempat duduk percuma pada penerbangan terpilih, bagaimanapun penumpang hanya perlu membayar cukai dan lain-lain seperti kos surcaj.
"Penumpang hanya perlu membayar RM31 dari Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu, Sibu, Kuching dan Miri serta dari laluan Tawau ke Kuala Lumpur," katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif MYAirline, Rayner Teo berkata, pihaknya teruja menawarkan promosi tersebut kepada penumpang.
"Kami komited untuk membuat perjalanan boleh diakses dan harga berpatutan untuk semua orang, terutama semasa tempoh percutian.
"Promosi ini adalah bukti dedikasi kami untuk memberikan nilai luar biasa kepada para pelanggan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Untuk maklumat lanjut, layari laman web MYAirline di myairline.my atau muat turun aplikasi mudah alih MYAirline. - DagangNews.com








