Lynas, JS Link bina kilang magnet nadir bumi di Kuantan, bakal wujudkan 400 peluang pekerjaan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Lynas, JS Link bina kilang magnet nadir bumi di Kuantan, bakal wujudkan 400 peluang pekerjaan

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 7 Julai - Lynas Rare Earths Ltd memeterai perjanjian kerjasama jangka panjang dengan syarikat Korea Selatan, JS Link Inc bagi membangunkan sebuah kilang pembuatan magnet kekal nadir bumi di Kuantan, Pahang, sekali gus mengukuhkan kedudukan Malaysia dalam rantaian bekalan nadir bumi global di luar China.

 

Di bawah perjanjian itu, JS Link akan membina dan mengendalikan kilang berkapasiti 3,000 tan setahun bagi pengeluaran magnet kekal tersinter neodymium-iron-boron (NdFeB), yang digunakan secara meluas dalam industri automotif, tenaga boleh diperbaharui dan elektronik.

 

Lynas turut akan melabur kira-kira A$50 juta (sekitar RM141 juta) dalam ekuiti biasa JS Link bagi membiayai pembinaan kemudahan berkenaan.

 

Selain itu, Lynas akan membekalkan bahan nadir bumi kepada kilang JS Link di Yesan, Korea Selatan serta kilang baharu di Kuantan di bawah perjanjian pembekalan eksklusif sehingga Januari 2038 pada harga komersial.

 

Perjanjian itu menyusuli pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara kedua-dua syarikat pada Julai 2025.

 

JS Link telah memperoleh tapak pembinaan kilang berhampiran loji bahan termaju Lynas Malaysia di Kuantan, dengan projek itu dijangka mewujudkan sehingga 400 peluang pekerjaan baharu di Malaysia.

 

Magnet yang dihasilkan akan disasarkan kepada rantaian bekalan sektor automotif, tenaga angin serta pembuatan elektronik di pasaran utama termasuk Korea Selatan, Malaysia dan negara-negara lain.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Interim Lynas, Pol Le Roux berkata, kerjasama itu menggabungkan kepakaran Lynas dalam pemprosesan nadir bumi dengan keupayaan JS Link dalam pembuatan magnet bagi mewujudkan industri pembuatan baharu di Malaysia.

 

"Ini merupakan projek penting bagi pembangunan industri nadir bumi yang mampan di Malaysia dan menyokong objektif pertumbuhan Towards 2030 Lynas untuk mengembangkan kehadiran dalam rantaian bekalan logam serta magnet di luar China," katanya dalam satu kenyataan.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif JS Link, Jun Y. Lee berkata, kerjasama dengan Lynas membolehkan syarikat itu membina rantaian nilai magnet kekal yang lebih stabil dan cekap.

 

Beliau berkata, kerjasama itu juga akan menyumbang kepada pembentukan rantaian bekalan nadir bumi yang lebih berdaya tahan di samping memberi manfaat ekonomi kepada Malaysia, Australia dan Korea Selatan. - DagangNews.com