KUALA LUMPUR 13 Jan - Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) memperkenalkan logo baharu Dasar Pandang ke Timur sempen sambutan ulang tahun ke-40 tahun ini sejak diperkenalkan oleh Malaysia pada 1982.
Sejajar dengan hubungan erat antara Malaysia dan Jepun yang diperkukuhkan dengan Dasar Pandang ke Timur, logo rekaan Koo Kon Hen dari Kuala Lumpur telah dipilih sebagai logo rasmi bagi sambutan Ulang Tahun ke-40.
Pemilihan itu dijalankan Jawatankuasa Penilaian yang dianggotai wakil-wakil daripada MITI, Kementerian Luar Negeri, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Kedutaan Besar Jepun di Malaysia.
"Logo ini menggambarkan hubungan erat antara Malaysia dan Jepun melalui garis berjalur menggunakan warna-warna kebangsaan kedua-dua negara.
"Sejak diperkenalkan, Dasar Padang ke Timur telah memberi sumbangan yang besar kepada pembangunan sosio-ekonomi negara, terutamanya dari sudut hubungan perdagangan dan pelaburan dua hala serta pembangunan modal insan," menurut MITI dalam kenyataan hari ini.
Bagi meraikan sambutan ulang tahun ini, MITI, selaku Sekretariat Nasional Dasar Pandang ke Timur, telah menganjurkan pertandingan mencipta logo yang berlangsung dari 26 Oktober hingga 20 November 2021.
Pertandingan tersebut berjaya menarik sejumlah 171 penyertaan daripada Malaysia dan Jepun.
Dasar Pandang ke Timur yang dilaksanakan sejak 4 dekad yang lalu telah banyak menyumbang kepada pengukuhan hubungan dua hala antara kedua-dua negara.
MITI berkata, dalam tempoh 40 tahun, jumlah perdagangan antara Malaysia dan Jepun telah meningkat melebihi 290% dengan nilai sebanyak RM124.14 bilion telah direkodkan pada 2020, sekali gus menjadikan Jepun sebagai negara rakan dagang keempat terbesar bagi Malaysia.
Bagi tempoh Januari hingga November 2021, jumlah perdagangan antara Malaysia dan Jepun telah meningkat
sebanyak 20.8% kepada RM135.01 bilion, berbanding tempoh yang sama pada 2020.
"Selain itu, Jepun juga merupakan sumber pelaburan langsung asing terbesar di Malaysia bagi projek-projek yang telah dilaksanakan.
"Sehingga Jun 2021, sejumlah 2,768 projek pembuatan telah berjaya dilaksanakan dengan jumlah pelaburan sebanyak RM91.5 bilion," katanya.
Dari aspek pembangunan modal insan, kerjasama strategik antara JPA dan institusi-institusi berkaitan di Jepun telah memberi manfaat kepada 17,062 rakyat Malaysia, termasuklah 6,715 pelajar Malaysiayang telah menerima biasiswa untuk melanjutkan pelajaran di Jepun dalam bidang-bidang keutamaan seperti kejuruteraan, sains dan teknologi.
Selain itu, kerjasama ini juga telah memberi peluang kepada sejumlah 10,347 pegawai kerajaan untuk
menyertai pelbagai program latihan seperti pengurusan dan kemahiran teknikal. - DagangNews.com








