KUALA LUMPUR 15 Mei - Pelabur asing terus menjual RM46.6 juta ekuiti Malaysia untuk minggu keempat berturut-turut, menurut MIDF Research.
Firma penyelidikan itu berkata, minggu lalu dagangan bermula positif dengan aliran masuk bersih pelabur asing sebanyak RM9.5 juta pada Isnin dan RM81.8 juta pada Selasa dan kemudian, bertukar menjual bersih dari Rabu hingga Jumaat dengan aliran keluar berjumlah RM137.6 juta.
Pelabur asing telah menjadi penjual bersih ekuiti selama 13 daripada 19 minggu tahun ini dengan aliran keluar berjumlah RM2.18 bilion.
“Tiga sektor teratas yang menyaksikan aliran masuk bersih pelabur asing adalah telekomunikasi dan media (RM62.9 juta), utiliti (RM26.4 juta) dan perladangan (RM12.1 juta), manakala tiga sektor teratas mencatatkan aliran keluar bersih adalah perkhidmatan kewangan (RM84. 5 juta), produk dan perkhidmatan perindustrian (RM32.6 juta) dan pembinaan (RM17.6 juta),” katanya dalam nota hari ni.
Sementara itu, pelabur institusi tempatan kekal sebagai pembeli bersih untuk minggu ketiga berturut-turut dengan nilai RM49.9 juta minggu lepas.
Mereka telah membeli pada setiap hari dagangan kecuali Selasa, yang menyaksikan aliran keluar RM63.9 juta.
Aliran masuk tertinggi dicatatkan pada Jumaat berjumlah RM72.3 juta apabila Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan pengembangan ekonomi domestik yang lebih baik daripada jangkaan pada 5.6% tahun ke tahun (YoY) pada suku pertama 2023.
Pelabur institusi tempatan telah menjadi pembeli bersih selama 14 daripada 19 minggu tahun ini dengan aliran masuk berjumlah RM2.09 bilion.
Sebaliknya, pelabur runcit tempatan kekal sebagai penjual bersih untuk minggu kedua berturut-turut pada RM3.6 juta.
“Setiap hari dagangan adalah hari jualan bersih kecuali aliran masuk pada Rabu (RM15.3 juta) dan Khamis (RM25.4 juta),” tambahnya.
Pelabur runcit tempatan telah menjadi pembeli bersih ekuiti selama sembilan daripada 19 minggu tahun ini dengan jumlah aliran masuk RM93.4 juta.
Dari segi pergerakan pelabur, purata volum dagangan harian (ADTV) dalam kalangan pelabur runcit tempatan, pelabur institusi tempatan sebanyak dan pelabur asing masing-masing meningkat sebanyak 5.3%, 16.2% 30.6%. -DagangNews.com








