KUALA LUMPUR 13 Jan - Langkah pengambilalihan yang dilaksanakan CTOS Digital Bhd. dilihat tepat pada masanya memandangkan ekonomi digital berkembang pantas di rantau ASEAN, menurut Maybank Investment Bank (IB) Research.
Pada 24 Disember lalu, CTOS Digital mengumumkan 2 cadangan pengambilalihan membabitkan pembelian 49% kepentingan dalam syarikat pakar teknologi kewangan (fintech), Juris Technologies Sdn. Bhd. (JurisTech) berjumlah RM205.8 juta dan 2.25% kepentingan Business Online Public Co Ltd (BOL) bernilai RM34.9 juta.
JurisTech merupakan syarikat fintech terkemuka di Malaysia yang mengkhusus dalam penyelesaian perisian untuk bank, institusi kewangan, insurans dan syarikat telekomunikasi.
Sehubungan itu, Maybank IB mengukuhkan pandangan positif terhadap langkah tersebut memandangkan kedudukan kewangan Juristech yang mantap.
Katanya, ia juga akan menyediakan kedudukan yang kepada CTOS Digital untk bersaing di peringkat serantau
"Satu-satunya pertindihan yang jelas ialah kedua-duanya mempunyai pasukan analitik mereka sendiri, walaupun kami melihat peluang untuk setiap pihak memanfaatkan kekuatan masing-masing untuk pengeluaran produk yang dipertingkatkan dan jualan silang untuk jualan yang lebih baik.
"Oleh itu, bagi kami ia adalah langkah yang tepat, kerana ekonomi digital Malaysia sedang beralih arah dengan pengeluaran lesen perbankan digital dan kemunculan pelbagai bank teknologi kewangan (fintech) atau pencabar dan peminjam wang digital," katanya dalam nota kajian pada Rabu.
Baca : CTOS Digital cadang ambil alih 49% kepentingan JurisTech pada RM205.8 juta
JurisTech merupakan syarikat fintech terkemuka di Malaysia yang mengkhusus dalam penyelesaian perisian untuk bank, institusi kewangan, insurans dan syarikat telekomunikasi.
Bagi membiayai proses pengambilalihan, CTOS Digital merancang untuk melaksanakan tawaran saham persendirian saham baharu, mewakili sehingga 10 peratus daripada 1.1 bilion saham tertunggak semasa, sementara menunggu kelulusan pemegang saham pada mesyuarat agung luar biasa (EGM) yang sama.
Jika tiada sebarang keadaan yang tidak dijangka, pengambilalihan itu dijadualkan selesai menjelang suku pertama 2022.
Bagaimanapun, Maybank IB berkata, cadangan penambahan kepentingan dalam BOL mungkin berdepan sedikit cabaran susulan pengukuhan harga saham sejak akhir-akhir ini.
Namun, katanya, kekuatan BOL dalam pasaran runcit di Thailand kekal sebagai cadangan yang menarik di mana CTOS percaya ia boleh memanfaatkan untuk mengembangkan perniagaan D2Cnya.
"Kami percaya harga siling ditetapkan pada THB15 sesaham mungkin boleh dikaji semula," jelasnya.
Di samping itu, menurutnya, CTOS Digital juga mungkin mengumpul tambahan sebanyak RM29 juta untuk meningkatkan lagi pegangannya dalam RAM Holdings dan pemerolehan lain.
Secara keseluruhan Maybank IB mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran pada RM2.40 sesaham.
Setakat 11.34 pagi ini, saham CTOS Digital susut 2 sen atau 1.06% kepada RM1.86 dengan 1.42 juta saham diniagakan. - DagangNews.com








